ABRAMOVIC tidak teragak-agak memecat pengurus yang tidak cemerlang sebelum ini.
AFP

London: Antonio Conte tidak akan dipecat selaku pengurus Chelsea dalam tempoh terdekat selepas dibenarkan terus kekal di kelab itu oleh Roman Abramovich, demikian menurut laporan media semalam.

Masa depan Conte dengan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu terus menjadi perhatian kelmarin selepas tewas 1-4 di tangan Watford.

Chelsea yang menduduki tangga keempat kini ketinggalan 19 mata berbanding pendahulu Manchester City dalam kempen bermasalah yang diburukkan lagi oleh perselisihannya dengan kelab itu berhubung polisi perpindahan pemain.

Pemilik kelab Abramovic tidak pernah teragak-agak memecat pengurus yang tidak cemerlang dan ia menjadi topik perbualan di Vicarage Road, di mana selepas kekalahan kepada Bournemouth ke laman sendiri, mungkin membawa kepada pemecatan Conte.

Namun, laporan di media Britain semalam mendakwa bekas pengurus Juventus dan Itali itu dijangka terus mengendalikan perlawanan menentang West Bromwich Albion Isnin depan.


MASA depan Conte bersama Blues tidak dapat diramal.

Biarpun beberapa mesyuarat diadakan di antara ahli lembaga Chelsea hari ini, namun difahamkan ia tiada kaitan dengan bola sepak, membabitkan isu korporat dan komersial, malah masa depan pengurus berkenaan tiada dalam agenda mesyuarat terbabit.

Bekas jurulatih Barcelona Luis Enrique adalah antara nama besar yang dikaitkan dengan jawatan di Chelsea, namun Conte enggan memikirkan untuk meletak jawatan selepas berkhidmat kurang daripada dua tahun di Stamford Bridge.

Sementara itu, pertahanan Chelsea Gary Cahill mengakui skuad itu perlu bertanggungjawab atas aksi mereka ketika berdepan Watford.

“Apa saja yang diputuskan, pemain perlu bertanggungjawab. Pengurus sudah melakukan tugasnya dengan luar biasa,” kata Cahill.

“Ini kekalahan terburuk pernah saya rasai dalam tempoh yang lama. Dari aspek prestasi, kami bagaikan hilang identiti.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:55 AM