DURAKOVIC (berdiri kanan) akui pemainnya perlu berhati-hati. -Foto fail
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


JURULATIH Perak, Mehmet Durakovic tidak memandang mudah pertemuan dengan Kedah pada perlawanan kedua Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, malam esok.

Jurulatih dari Australia itu sedar mengenai kemampuan pasukan tuan rumah di bawah bimbingan Ramon Marcote.

“Kedah pasukan yang bagus dan kuat. Tidak kira apa orang kata, saya memang hormat pasukan itu. Mereka memiliki kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri.

“Hakikat Kedah tumpas perlawanan pertama mereka akan membuat pasukan itu turun dengan azam menebus kekecewaan mereka.

“Oleh itu, pemain Perak perlu berhati-hati serta cekal dan tabah,” kata jurulatih itu.

Durakovic berharap pemain Perak mampu mengulangi aksi bertenaga seperti menentang Pahang di Kuantan, Ahad lalu.

“Mereka bermain cemerlang dan berjaya mencipta banyak peluang tapi sayangnya kami tiada penyudah.

“Saya harap gejala itu tidak berulang pada perlawanan malam esok,” katanya.

Walaupun bermain di gelanggang lawan dua perlawanan berturut-turut, jurulatih itu yakin semangat anak buahnya tidak terjejas.

“Kami akan mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 9:01 PM