PEMAIN Pahang, Kogisleswaran Raj (kanan) mengasak pemain Perak, Shahrul Mohd Saad dalam saingan Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur. Foto ZULKEPLI OSMAN
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com


PAHANG gagal mengutip tiga mata penuh di laman sendiri apabila seri tanpa jaringan bertemu Perak dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Kekentalan pertahanan The Bos Gaurus mengawal perlawanan membantu skuad itu meraih satu mata di tempat lawan manakala skuad Tok Gajah harus menyalahkan diri kerana gagal beraksi dengan baik.

Pada perlawanan itu, pelawat lebih menguasai permainan terutama pada separuh masa pertama apabila hampir meletakkan Perak di hadapan menerusi rembatan Nor Hakim Hassan tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Pahang, Helmi Eliza Elias seawal minit ketiga.

Pada minit ke-28 dan 31, dua pemain import The Bos Gaurus, Glimar Jose dan Wander Luiz turut memiliki peluang merobek gawang tuan rumah tetapi bola sedikit tersasar ke sebelah kanan.

Skuad Pahang berusaha untuk menguji kubu lawan tetapi benteng pertahanan Perak terlalu kental untuk ditembusi sepanjang babak pertama permainan.

Tiga minit babak kedua bersambung, penyerang tuan rumah Norshahrul Idlan Talaha memiliki peluang untuk muncul penjaring tetapi gagal menanduk kemas biarpun hanya berdepan penjaga gol, Hafizul Hakim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 11:46 PM