KEHADIRAN Stroll bersama Williams menyaksikan pasukan itu membariskan pelumba paling muda dan kurang pengalaman di grid musim ini. Foto Agensi
Reuters

LONDON: Pelumba Formula Satu (F1) Kanada, Lance Stroll memperlekeh kepentingan pemandu berpengalaman, Felipe Massa dalam pasukan Williams musim lalu dan menafikan bintang Brazil itu bertindak sebagai ‘mentor.’

“Saya tidak fikir saya mendapat sebarang bimbingan daripadanya pada tahun lalu,” kata pemandu berusia 19 tahun itu mengenai Massa yang kini sudah bersara memetik kenyataannya kepada Motorsport.com.

“Dia sama seperti rakan sepasukan yang lain. Dia sibuk cuba untuk memandu sepantas yang dia boleh, dan saya juga cuba untuk memandu sepantas yang boleh.

“Itu saja. Tiada langsung yang lebih berbanding itu.

“Saya tidak tahu mengapa orang berfikir ia seperti jurulatih atau mentor. Ia tiada. Dia hanya melakukan kerjanya dan saya melakukan kerja saya, dan siapa yang melakukan dengan lebih akan berada di depan.”

Massa, 36, yang memenangi 11 perlumbaan bersama Ferrrari dan bersara pada penghujung tahun lalu digantikan dengan pelumba muda berusia 22 tahun dari Russia, Sergey Sirotkin.

Ia menyaksikan Williams kini membariskan pelumba paling muda dan kurang pengalaman di grid perlumbaan musim ini.

Massa yang sebelum ini menggambarkan tugasnya di Williams sama seperti ketika dia beraksi di Ferrari dan belajar daripada legenda, Michael Schumacher membalas kenyataan itu dalam Twitter dengan menulis: ‘Lebih baik tidak berikan komen.’

Stroll, yang memasuki usia 18 tahun pada Jun lalu menjadi pelumba paling muda menamatkan perlumbaan di pentas podium apabila menamatkan saingan di Grand Prix Azerbaijan di tempat ketiga.

Dia begitupun menghargai pengetahuan Massa yang dikatakan memainkan peranan penting dalam memperbaiki prestasi jentera pada musim lalu.

“Felipe memberi bantuan yang bagus dalam membantu pembangunan pasukan dengan peraturan dan baharu serta Robert juga jelas banyak membantu,” katanya merujuk kepada pelumba simpanan pasukan Williams, Robert Kubica.

Williams menamatkan saingan pada musim lalu di tangga kelima keseluruhan kategori pengeluar dengan Massa mengumpul 43 mata manakala Stroll mengutip 40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2018 @ 5:39 PM