KHAIRY (dua dari kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Pelancaran Briged Gempur 2314 Pemuda BN Negeri Perlis di Dewan 1Malaysia Simpang Empat, Kangar. FOTO/AZHAR RAMLI
Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my


KEMENTERIAN Belia dan Sukan mahu melihat Kedah melahirkan lebih ramai bintang skuasy susulan kejayaan empat atlet dari negeri itu yang memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain 2018 bulan lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pembinaan pusat latihan skuasy baharu di Stadium Sultan Abdul Halim dengan kos RM7.6 juta juga adalah tanda pengiktirafan kementerian atas kejayaan empat atlet skuasy tersebut.

Khairy berharap pusat latihan ini akan melahirkan lebih ramai pelapis pemain skuasy dari Kedah selaras dengan potensi negeri ini yang dilihat mampu menjadi negeri sukan cemerlang.

Beliau berkata, pusat latihan ini dijangka siap awal tahun depan dengan kemudahan termasuk lapan gelanggang, ruang media dan pejabat.

“Walaupun perancangannya dibuat terlebih awal namun boleh saya katakan pusat latihan ini sebagai hadiah dan pengiktirafan kepada Kedah.

“Kita harap dengan adanya pusat latihan ini, ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin selaras dengan hasrat kementerian untuk melihat lebih ramai atlet pelapis dalam sukan skuasy, ” katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pusat Latihan Skuasy Kedah, di sini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Melalui pembinaan pusat latihan baharu ini, Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah menjangkakan dapat meningkatkan pengambilan atlet pelapis sehingga 120 berbanding 58 pemain skuasy remaja di bawah program MSN sehingga kini.

Baru-baru ini, empat atlet dari Kedah iaitu K Segveetrraa (kategori bawah 13), pemain adik-beradik, Aira dan Aifa Azman (bawah 15 dan 17) serta S.Sivasangari (bawah 19) memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain.


SIVASANGARI antara atlet skuasy terbaik Kedah. FOTO/FAIL

Pada masa sama, Khairy Jamaluddin berkata, beliau berharap lebih ramai atlet muda dilahirkan di Kedah mampu mengikut jejak kejayaan pemain skuasy negara, Datuk Nicol David yang pernah menjadi pemain nombor satu dunia selama 10 tahun sejak 2006.

“Dari segi atlet wanita kita tidak ketinggalan malah mempunyai kedudukan hampir sama dengan negara lain termasuk Mesir namun kita agak ketinggalan sikit dari pembangunan skuasy lelaki yang perlu ditambahbaik sikit.

“Dari segi kementerian kita akan membina lebih banyak kemudahan sukan di seluruh negara bagi merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai atlet pelapis, ” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy meminta supaya penyokong Helang Merah tidak emosi dalam isu perancangan pembinaan stadium baharu di Kedah yang dicadangkan oleh kerajaan negeri.

“Saya tahu stadium lama mempunyai nilai sentimental namun tidak perlu emosi jika kerajaan negeri mahu membina yang baharu.

“Ini berikutan apa yang penting kita mahu lihat industri bola sepak kita meningkat,” katanya yang akan mengumumkan kemudian berhubung perincian pembinaan stadium baharu itu.

Pada tahun lalu, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan stadium baharu di atas tapak stadium lama yang dibina sejak 1962 itu namun mendapat tentangan dari peminat bola sepak berikutan ia terpaksa dirobohkan.

From: Adie Suri

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 4:12 PM