HAAS a mencatat tujuh di bawah par 64. FOTO.AFP
Reuters

ARIZONA: Bill Haas bermula garang untuk mendahului saingan pusingan pertama Terbuka Phoenix di Arizona hari ini yang turut dirapati beberapa nama besar sukan berkenaan.

Biarpun bermula lewat, pemain Amerika Syarikat itu berjaya mencatat tujuh di bawah par 64 di depan kelompok penyokong yang ramai di TPC Scottsdale, dua pukulan mendahului lima pemain hebat termasuk rakan senegara Rickie Fowler.

Pemain nombor dua dari Sepanyol Jon Rahm ketinggalan tiga pukulan, diikuti pemain AS Justin Thomas dengan empat pukulan.

Dalam saingan yang turut mempertaruhkan empat daripada lima pemain utama dunia, juara bertahan dua kali dari Jepun Hideki Matsuyama bermula sederhana dengan ketinggalan lima pukulan namun seorang lagi pemain AS, Jordan Spieth bergelut untuk satu di atas par 72.

Haas yang bermula di lubang ke-10, mencatat lima di bawah par selepas tujuh lubang, dibantu eagle pada lubang ke-15 apabila membuat pukulan sejauh 20 kaki.

Fowler yang tewas kepada Matsuyama dalam aksi playoff dua tahun lalu, juga melakukan eagle di lubang ke-15.

“Saya sedar bahawa bermain awal pagi ketika cuaca dingin pada sembilan lubang terakhir boleh memerangkap anda jika tidak berhati-hari,” kata Fowler kepada Golf Channel.

“Saya bermain dengan baik, mencatat tiga di bawah par selepas sembilan lubang, berjaya mendapatkan beberapa par, berjaya membuat pukulan par jauh pada lubang keempat dan birdie pada lubang kelapan.”

“Saya tidak fikir lapangan ini terlalu mencabar seawal pukulan tee tetapi anda perlu memukulnya tepat ke fairway untuk peluang bermain lebih baik di kawasan green.

“Minggu lalu satu masalah kecil (tersingkir di Torrey Pines), saya melakukan beberapa kesilapan. Kami cuba perbaiki kesilapan itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:21 PM