DE Bruyne (kiri) kecewa dengan lawan yang sering mengasarinya. FOTO/AFP
AFP

MANCHESTER: Pemain tengah Manchester City dan Kevin De Bruyne dan Bernardo Silva mendedahkan kekecewaan mereka terhadap skuad itu kerana sering menjadi sasaran permainan agresif lawan sejak kebelakangan ini.

Pemain City kini merawat kecederaan mereka menjelang kunjungan ke Burnley malam esok selepas berdepan permainan kasar pasukan lawan.

Pengurus City Pep Guardiola dilaporkan berang terhadap kekasaran yang dilakukan pemain West Brom sewaktu perlawanan Liga Perdana termasuk terjahan Matt Phillips ke atas pemain gantian Brahim Diaz.

De Bruyne, pemain tengah Belgium itu turut menjadi mangsa pemain West Brom James McClean sebelum menjaringkan gol kedua City yang menyaksikan mereka menang 3-0 di Stadium Etihad.

Insiden berkenaan berlaku selepas mereka menewaskan Cardiff dalam aksi Piala FA yang menyaksikan pemain tengah Jerman Leroy Sane mengalami kecederaan ligamen buku lali selepas dikasari, menyebabkannya tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya enam minggu.

Perkara itu mendorong Guardiola meminta pengadil supaya bekerja keras melindungi pemainnya bagi menghalang kecederaan.


SILVA (kanan) sering jadi sasaran pemain agresif. FOTO/AFP

“Dalam bola sepak, secara umumnya pemain adalah artis. Satu perkara yang boleh pengadil lakukan adalah melindungi mereka,” kata Guardiola.

“Pengadil perlu melindungi, bukan saja pemain saya malah juga pemain lain.”

De Bruyne berkata percubaan untuk menghalang kelancaran permainan City dengan gerakan agresif mula memberi kesan terhadap pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

“Ada kalanya ia amat mengecewakan kami. Banyak pasukan cuba mengasari kami. Kami membuat kekasaran, kami dilayangkan kad kuning. Ada kalanya saya tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku.

“Saya tidak tahu apa yang mereka fikirkan, anda boleh menarik jersi, ia lebih berkesan daripada mengasari pemain.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 3:09 PM