THANABALAN bersama kereta kesayangannya. Foto fail
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


KEHILANGAN kereta kesayangannya tidak akan menggangu fokus N Thanabalan terhadap latihan dan persiapan bagi menghadapi saingan Liga Super, yang akan membuka tirainya, Sabtu ini.

Penyerang muda Negeri Sembilan itu berkata, dia akan tetap memberikan tumpuan kepada persiapan pasukan walaupun kedudukannya dalam kesebelasan utama pada aksi pertama menentang PKNP FC, di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang, belum pasti.

“Kehilangan kereta itu tidak akan menganggu fikiran saya terhadap latihan bersama pasukan Negeri Sembilan, walaupun kereta itu sememangnya amat berjasa dan mempunyai nilai sentimental pada saya dan keluarga.

“Walaupun kereta itu sentiasa digunakan untuk bergerak bagi menjalani latihan bersama pasukan Negeri Sembilan, saya akan pastikan kehilangan kenderaan itu tidak menjejaskan urusan harian.

“Saya cuma mengharapkan kereta berkenaan yang dibeli pada harga RM3,000 pada tahun 2016 itu dapat ditemui semula kerana kenderaan terbabit amat bermakna dalam kehidupan saya dan keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Thanabalan menyedari Proton Iswara berwarna biru dengan nombor pendaftaran TQ 5158 itu hilang selepas menjalani upacara keagamaan di Batu Caves, semalam.

Dia yang baru saja menamatkan aksi di Kejohanan Konfederasi Bola Sepak AFC Bawah 23 Tahun (B-23) di China berkata, ini kali kedua kenderaannya hilang selepas tahun lalu kehilangan Perodua Kancil.

“Tahun lalu kereta Kancil saya hilang di Kuala Lumpur ketika latihan bersama FELCRA FC,” katanya.

Mengulas lanjut persiapan skuad Hobin Jang Hobin menghadapi PKNP, pemain kelahiran Rantau itu berkata, dia belum pasti dapat bermain kerana masih belum cergas sepenuhnya.

“Ada kemungkinan saya tidak diturunkan ketika Negeri Sembilan menentang PKNP nanti, namun kedudukan sebenarnya bergantung kepada keputusan ketua jurulatih. Saya mengharapkan pasukan dapat meraih kemenangan sebagai suntikan semangat dan keyakinan sebelum menghadapi perlawanan kedua menentang Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 9:17 PM