DE Bruyne kunci kemenangan City. FOTO/AFP
Reuters

MANCHESTER: Pemain Belgium Kevin De Bruyne sekali lagi mempamerkan aksi luar biasa ketika pendahulu Liga Perdana Inggeris Manchester City menewaskan kelab tercorot West Bromwich Albion 3-0 di Stadium Etihad untuk kekal dengan kelebihan 15 mata di puncak liga.

Pasukan berkenaan mungkin mampu meledak tujuh atau lapan gol seperti diperkatakan pengurus City Pep Guardiola meskipun kehilangan Leroy Sane dan Gabriel Jesus yang mengalami kecederaan.

“Beberapa kali malam ini saya ingin memeluk pemain saya kerana kasihan kepada mereka,” kata pengurus West Brom Alan Pardew.

Selepas melihat penderitaan pasukannya seperti mana perlawanan lain musim ini, ketika berdepan gerakan pantas dan hantaran tepat City, Pardew mengenalpasti watak utama di sebalik kekalahan mereka.

“De Bruyne adalah kuncinya kerana hantaran dan permainan menyerangnya berkualiti tinggi, anda tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk menghadapinya,” katanya.


DE Bruyne ketika meledak gol untuk City. FOTO/AFP

Keupayaan pemain Belgium itu mencari pemain yang sedang bergerak dengan hantaran yang tepat dan padu, berjaya merobek pertahanan West Brom untuk jaringan awal pada minit ke-19.

De Bruyne berjaya menemui Fernandinho, yang meluru ke bahagian kiri dan menolak bola melepasi penjaga gol Ben Foster.

Foster mampu menjadi wira West Ham apabila berjaya menyelamatkan empat percubaan berbahaya daripada De Bruyne yang mampu mencari sasaran dari jarak jauh menyamai kepantasannya ketika serangan balas dan ketepatan dengan bola dikakinya.

“Ia satu aksi yang hebat dan terbaik, kami berhak menang. Tiga lagi mata,” kata Guardiola.

“Sepanjang musim De Bruyne beraksi pada tahap luar biasa. Jika salah seorang pemain terbaik berlari dan berjuang seperti Kevin yang lain pasti mengikutnya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 11:10 AM