PEMAIN Spurs meraikan gol Eriksen. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Jose Mourinho mengeluh terhadap ‘gol tidak masuk akal’ selepas satu daripada gol terpantas dalam sejarah Liga Perdana Inggeris membawa skuad Manchester United menuju kekalahan 0-2 di tangan Tottenham di Wembley awal pagi tadi.

Christian Eriksen meletakkan Spurs di depan pada saat ke-11 perlawanan sebelum jaringan ke gawang sendiri pertahanan United Phil Jones memastikan kemenangan buat tuan rumah sebelum tamat separuh masa.

Kekalahan itu meletakkan United kekal di tangga kedua namun tercicir 15 mata berbanding pendahulu Manchester City.

Dalam era Liga Perdana, gol pantas Erikson itu berkongsi kedudukan sebagai kedua terpantas dengan jaringan Mark Viduka untuk Leeds ke atas Charlton pada 2001.

Rekod Eriksen dan Viduka itu bagaimanapun diatasi Ledley King dengan catatan 10 saat untuk jaringan Tottenham ke atas Bradford pada 2000 dan Alan Shearer buat Newcastle ke atas Manchester City pada 2003.


ERIKSEN (tengah) melepasi asakan pemain United, Jesse Lingard. FOTO/AFP

“Ia perlawanan yang bermula dengan gol tidak masuk akal. Gol selepas beberapa saat itu memberi pengaruh besar terhadap permainan kerana Tottenham boleh bermain dengan cara mereka sendiri,” kata pengurus United Mourinho.

“Pada akhirnya kami bermain menentang pasukan yang bagus. Kedua-dua gol tidak masuk akal.

“Gol pertama itu adalah satu kesilapan biarpun ia berlaku begitu pantas. Pemain saya sudah banyak kali melihat pemain Tottenham bermula seperti itu,” kata jurulatih kelahiran Portugal.

“Ia benar-benar gol yang teruk.”

Namun Mourinho mengakui jaringan ke gawang sendiri turut menjejaskan moral pasukan pelawat seperti mana jaringan luar biasa Eriksen.

“Gol kedua secara mentalnya membunuh pasukan. Pasukan yang mahu menang perlawanan perlu menjaringkan gol dan bertahan dengan baik dan dalam hal ini kami memang amat teruk.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Februari 2018 @ 7:42 AM