KLHC (jersi putih) akan menentang THT bagi menentukan gelaran Liga Perdana 2018.
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my


KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) akan menentukan gelaran Liga Perdana 2018 pada pertemuan terakhir Jumaat ini selepas kedua-dua pasukan mencatat kemenangan sebentar tadi.

THT yang kini memimpin saingan liga dengan 21 mata, meraih kemenangan bergaya 4-2 ke atas TNB Thunderbolts hasil gol Lopez Barreiros minit ke-11, Moritz Erhard (36), Gonzalo Peillat (41) dan B Namasivayam (46) dengan dua gol lawan hasil sumbangan Sabri Mohammed dan Azammi Adabi.

KLHC pula menang besar 4-0 ke atas pencabar utama TNB dengan Hafizuddin Zaidi dan Jang Jonghyun seperti melepaskan geram dengan masing-masing menyumbat dua gol.

Kekalahan TNB menyaksikan skuad kendalian Nor Saiful Zaini itu terkeluar daripada perebutan liga selepas ketinggalan lima mata di belakang THT dengan KLHC empat mata di depan sekali gus terus kemarau gelaran itu sejak 2003.

Ketua jurulatih KLHC, Lim Chiow Chuan yang lega dengan kemenangan itu pantas memuji persembahan pemainnya yang disifatkan sebagai terbaik pada musim ini.

“Kami bermain baik hari ini, semua pemain tampak mempunyai keinginan yang tinggi untuk menang selepas sedar kekalahan boleh menamatkan pemburuan gelaran liga.

“Ia antara aksi terbaik kami pada musim ini dan berharap pemain dapat mengekalkan rentak permainan cemerlang seperti tiga perlawanan terakhir ini dan pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana menjalankan tigas dengan baik,” katanya selepas tamat perlawanan.

Selepas bermula perlahan pada awal saingan liga, juara Piala Sumbangsih itu merakam kebangkitan apabila mengutip empat kemenangan berturut-turut termasuk menumpaskan UniKL 3-1, Maybank 3-1, TNB Thunderbolts 4-0 dan lawan yang sama 7-1.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 9:34 PM