PEMAIN tengah PSG Giovanni Lo Celso (tengha) meraikan kejayaannya meledakkan gol ketika bertemu Rennes. Foto AFP
AFP

PARIS: Juara bertahan Paris Saint-Germain mara ke final Piala Liga Perancis selepas menewaskan Rennes 3-2 di Roazhon Park namun kemenangan itu dicemari kad merah Kylian Mbappe yang kembali beraksi selepas pulih kecederaan.

Thomas Meunier meletakkan pelawat di depan hasil rembatan voli menarik dan jaringan Wahbi Khazri dibatalkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mendapati bola terkena tangan pemain itu.

Pertahanan Brazil, Marquinhos menjaringkan gol pada minit ke-54 dan gol ketiga pelawat diperolehi melalui Giovani Lo Celso empat minit kemudian hasil kesilapan penjaga gol, Abdoulaye Diallo.

Mbappe mendapat kad merah selepas mengasari Ismaila Sarr namun jaringan Diafra Sakho dan Sanjin Prcic sudah terlewat bagi membolehkan PSG memburu trofi Piala Liga buat kali kelima.

PSG kini dalam misi merangkul empat trofi, Ligue 1, Liga Juara-Juara, Piala Perancis dan Piala Liga Perancis selepas mengharungi 37 perlawanan tanpa kalah dalam kejohanan tempatan.

Gergasi Perancis itu akan menentang Monaco atau Montpellier di final pada 31 Mac.

Jurulatih PSG, Unai Emery melakukan enam pertukaran terhadap skuad yang membelasah Montpellier 4-0 dalam aksi liga Sabtu lalu dengan Mbappe kembali beraksi selepas berehat dua perlawanan akibat kecederaan dan Edinson Cavani direhatkan selepas muncul penjaring terbanyak PSG dalam sejarah, minggu lalu.

Walaupun berjaya mara ke final, PSG belum boleh berpuas hati dan perlu meningkatkan prestasi menjelang aksi peringkat pertama saingan 16 pasukan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid pada 14 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 10:43 AM