EEI Hui (kanan) puas pencapaian anak buah. FOTO/FAIL
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


KETUA jurulatih beregu campuran negara, Chin Eei Hui mengakui jurang antara anak buahnya dengan pencabar handalan dunia lain masih jauh.

Selepas tiga kejohanan - Thailand, Malaysia dan Indonesia Masters - Eei Hui menyatakan dia berpuas hati dengan keputusan yang dicapai, tetapi tidak mahu pemain berasa selesa dengan pencapaian mereka.

Semalam, pasangan nombor dua negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mara ke separuh akhir kedua mereka musim ini di Indonesia Masters sebelum tewas 21-18, 21-14 kepada pasangan China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong.

Seminggu sebelum itu, pasangan itu mara ke kelompok empat terakhir di Malaysia Masters di Bukit Jalil.

Bekas pasangan nombor satu, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, lebih menyerlah musim ini apabila menang gelaran Thailand Masters, dua minggu lalu.

“Berdasarkan keputusan, ia nampak tidaklah teruk, tetapi kita tidak boleh kata pasangan itu sudah bagus. Masih ada jurang apabila dibandingkan dengan pasangan utama lain,” kata Ee Hui ketika dihubungi.

“Bagaimanapun apa yang bagus, mereka beraksi dengan baik sebagai pasukan. Budaya ini meningkatkan tahap pemain remaja juga.

“Saya tidak mahu pemain berhenti meningkat. Mereka mesti tahu dan rasa mereka masih belum bagus, atau mereka tidak akan memberi tekanan untuk mendapat prestasi lebih baik.”

Walaupun Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, kurang menyerlah namun mereka masih pasangan nombor satu negara, manakala Peng Soon-Liu Ying yang juga pemenang perak Olimpik Rio 2016 ketiga berdasarkan ranking, selepas pasangan itu dipisahkan sementara kerana Liu Ying menjalani pembedahan di Jerman.

“Satu gelaran dan dua penampilan separuh akhir bukanlah keputusan yang buruk, terutama pada permulaan musim. Ia permulaan yang bagus, tetapi saya mahu pemain lebih laparkan kejayaan dan tidak berhenti belajar,” kata Eei Hui.

Cabaran pasangan negara selepas ini ialah Terbuka India di New Delhi, minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 5:07 PM