PEMAIN KLHC, Joshua Pollard (tengah) diasak pemain TNB ketika perlawanan menentang TNB. -Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


KETUA jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Lim Chiow Chuan mengakui barisan kendaliannya berdepan misi lebih sukar untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana meskipun hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, Pasukan Hoki Terengganu (THT).

Ini kerana berbanding THT, katanya, KLHC perlu berdepan tiga pasukan utama bermula Universiti Kuala Lumpur (UniKL) esok, diikuti Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum melengkapkan saingan menentang pendahulu liga itu.

Bagaimanapun, bekas penolong jurulatih skuad negara itu tetap yakin peluang masih terbuka untuk skuad bimbingannya mempertahankan kejuaraan liga.

Selepas tujuh perlawanan, THT kini memimpin saingan liga dengan mengumpul 15 mata.

“Memang peluang masih terbuka luas kerana apa saja boleh berlaku pada baki tiga perlawanan ini.

“Hanya mungkin THT lebih selesa kerana mereka akan bertemu dua lawan yang dilihat mampu di tewaskan (Maybank dan TNB Thunderbolts) sedangkan kami perlu melalui tiga perlawanan sukar.

Tapi saya enggan terlalu fikir perkara itu, sebaliknya hanya mahu pemain memberi tumpuan kepada setiap perlawanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Chiow Chuan, untuk mempertahankan kejuaraan liga, barisan pemainnya tidak boleh lagi mencicirkan mata.

Bagaimanapun dalam misi memenuhi impian itu, Chiow Chuan terpaksa akur tidak dapat menggunakan khidmat tonggak pertahanan, Izad Hakimi Jamaluddin yang terpaksa diketepikan sepanjang musim ini berikutan kecederaan ligamen.

“Izad adalah pemain kebangsaan dan ia sememangnya satu kehilangan besar untuk kami kerana sukar melakukan penggiliran pemain.

“Tapi saya yakin barisan pemain sedia ada mampu menggalas tugas yang diberikan,” katanya.

Info

Esok

TNB mln TNB Thunderbolts, 6 ptg

(Std Hoki Nasional, Bukit Jalil)

UniKL lwn KLHC, 8.30 mlm

(Std Hoki Nasional Bukit Jalil)

THT lwn Maybank, 8.30 mlm

(Std Hoki Batu Buruk)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 5:07 PM