ROBERTS terlepas hukuman doping selepas panel timbang tara AS terima hujah pembelaan atlet itu. -Foto Agensi
AFP

NEW YORK: Pelari pecut Amerika Syarikat Gil Roberts, yang meraih emas Sukan Olimpik Rio 2016 dalam acara 4x400m lelaki memenangi kes rayuan doping selepas panel timbang tara AS menerima hujah pembelaan mengenai ‘ciuman berahi’.

Roberts diuji positif bahan probenecid, sejenis ejen penopeng (masking agent) digantung empat tahun mulai Mei lalu, namun hakim timbang tara membatalkan penggantungan itu Julai lalu, menyokong dakwaan Roberts bahawa ujian positif itu disebabkan ciuman berahi.

Roberts berkata teman wanitanya Alex Salazar tidak sihat dan mengambil ubat sinus, dadah yang memasuki tubuhnya selepas kerap melakukan ciuman berahi.

Tiga panel timbang tara memihak Roberts semalam bagi membuat rayuan untuk membatalkan penggantungan oleh Agensi Anti Doping Dunia, di mana Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menjelaskan ‘kehadiran probenecid dalam sistem atlet itu adalah disebabkan mencium teman wanitanya’.

“Dia mungkin mencium saya selepas mengambil ubat itu,” kata Roberts.

Pegawai anti doping menyifatkan Roberts cuai kerana melakukan kesilapan yang tidak disengajakan itu, namun dia membalasnya: “Bagaimana saya boleh cuai kerana mencium pasangan saya?”

Roberts memberitahu teman wanitanya merahsiakan status kesihatannya kerana bimbang dia tidak akan menghabiskan masa bersamanya jika mengetahui perkara itu.

Alex memberi keterangan dalam perbicaraan itu bahawa dia dijangkiti sinus ketika percutian keluarga di India dan mendapatkan antibiotik di sana. Dia juga mengakui tidak suka menelan pil, menyebabkannya sering membuka kapsul dan meletakkan isinya di lidahnya.

Katanya, Roberts diuji positif bahan itu tiga jam selepas mereka bercium.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 4:37 PM