ROGER FEDERER
AFP

MELBOURNE: Roger Federer meramalkan Chung Hyeon mampu menduduki carta sepuluh teratas pada masa hadapan selepas kemaraan pemain Korea Selatan itu tersekat di separuh akhir, semalam.

Juara bertahan Terbuka Australia itu mendahului 6-1, 5-2 ketika Chung yang dianggap bintang masa depan terpaksa menarik diri akibat kecederaan tapak kaki.

Pemain muda berusia 21 tahun itu memalukan juara Grand Slam 12 kali, Novak Djokovic di pusingan keempat yang gagal beraksi pada tahap sebenar akibat kurang cergas. Kemenangan ke atas pilihan keempat Alexander Zverev pula bukti kemampuannya sekali gus pencapaian terbaik Grand Slam Chung setakat ini.

Sejak 20 tahun berada di puncak, Federer menyaksikan ramai pemain datang dan pergi. Hanya Chung pemain muda yang dikaguminya.

“Saya rasa dia sudah pun menjadi hebat tetapi kita memperkatakan cabaran di peringkat seterusnya dan saya fikir dia mampu melakukannya,” kata Federer yang mara ke final ke-30 Grand Slam dan mengejar trofi kejuaraan utama ke-20.

“Kita akan menyaksikan yang lebih daripadanya. Saya pasti. Dia akan raih lebih banyak kejayaan. Peringkat apa, berapa, kita tunggu,” katanya.

Kejayaan tak diduga Chung yang menjadi pemain pertama Korea Selatan mara ke separuh akhir Grand Slam meningkatkan lagi populariti sukan tenis di negara itu yang rakyatnya lebih meminati golf dan basebol.

Rating stesen TV juga meningkat. Chung bakal menjadi lebih terkenal apabila kembali ke Korea dan lebih mewah berbanding ketika meninggalkan negara itu.

Menurut Chung, dia mendapat pengalaman berguna dan bangga dapat beraksi menentang Federer.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 4:27 PM