FEDERER simpati dengan kecederaan Nadal. FOTO/AFP
AFP

MELBOURNE: Roger Federer dan Rafael Nadal kelihatan bermusuh di gelanggang tetapi di luar mereka adalah kawan baik dan bintang Switzerland itu ternyata bimbang dengan kecederaan yang dialami pemain nombor satu dunia itu.

Nadal terpaksa menarik diri berikutan masalah pinggul pada set kelima pusingan suku akhir Terbuka Australia ketika menentang pemain pilihan keenam, Marin Cilic, kelmarin.

Kecederaan itu sekali gus meranapkan impian peminat untuk menyaksikan semula saingan final tahun lalu di mana Federer menewaskan Nadal dalam saingan penuh debaran.

Federer berkata, adalah sukar untuk menyaksikan kempen Nadal berakhir dengan cara itu dan perkara terakhir yang dilakukan sebelum tidur pada kelmarin adalah berhubung dengan bintang Sepanyol berkenaan.


NADAL cedera pinggul. FOTO/AFP

“Adalah sukar melihat seseorang terkeluar pada set kelima dan tidak dapat menamatkan perlawanan,” katanya yang menyaksikan saingan Nadal.

“Saya menulis kepada Rafa lewat malam (Selasa) sebelum saya tidur. Perkara terakhir saya lakukan. Saya berkata saya perlu menulis kepada Rafa dan melihat bagaimana keadaan dia.

“Saya berharap dia berada dalam keadaan baik dan tiada sebarang berita buruk,” katanya.

Nadal bernasib baik apabila pemeriksaan menunjukkan dia hanya mengalami koyakan pada otot pinggulnya dan bukanlah sesuatu yang serius serta dijangka kembali bermain dalam tempoh tiga hingga empat minggu.

Sikap prihatin yang ditunjukkan Federer dipuji bekas bintang tenis, James Blake yang berkata pemain Switzerland itu adalah satu-satunya pemain yang menulis kepadanya ketika dia mengalami kecederaan serius pada 2004.

“Saya memperoleh nota daripada seorang pemain ketika di hospital apabila saya mengalami kecederaan leher. Roger Federer. Tenis bertuah apabila mempunyai duta mengagumkan seperti itu,” kata pemain Amerika Syarikat itu dalam Twitter. – AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:45 PM