COSTA (kanan) jaring gol tunggal Juventus ketika menentang Genoa. -Foto EPA
AFP

TURIN: Pemain Brazil, Douglas Costa menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika menentang Genoa, awal pagi tadi sekali gus merapatkan kedudukan Juventus dengan pendahulu Serie A, Napoli.

Napoli kekal di puncak selepas Dries Mertens menamatkan kemarau jaringannya mengalahkan Atalanta 1-0 di tempat lawan, kelmarin.

Pasukan Maurizio Sarri kini meraih 54 mata, satu mata di atas Juventus dari 21 perlawanan.

Penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny mengambil alih tugas Gianluigi Buffon yang mengalami kecederaan sementara Federico Bernardeschi mengetuai jentera serangan.

Miralem Panic gagal memanfaatkan sepakan percuma pada minit ke-6 selepas Gonzalo Higuain dikasari di luar kotak penalti apabila bola rembatannya berjaya ditepis penjaga gol Genoa, Mattia Perin.

Costa akhirnya menembusi gawang lawan di Stadium Allianz pada minit ke-16 hasil hantaran satu dua dengan Mario Mandzukic sebelum merembat bola melepasi jangkauan Perin.

Penyerang Genoa gagal mengancam kubu Juventus sepanjang permainan tetapi kesempatan itu gagal dimanfaatkan pemain tuan rumah untuk menambah jaringan.

“Saya fikir jaringan itu sangat penting,” kata Costa.

“Separuh masa kedua kami agak perlahan dan nasib baik tidak dibolosi. Kami perlu melihat ke depan selepas ini dan yakin kepada diri sendiri,” katanya.

Lazio melonjak ke tangga ketiga liga, 11 mata di belakang Napoli selepas menang besar 5-1 ke atas Chievo di Rome, kelmarin. Sama mata dengan Inter Milan tetapi dibezakan dengan jaringan gol.

Pasukan Luciano Spalletti, Inter hanya mampu seri 1-1 di tempat sendiri ketika menentang pasukan yang turut memburu slot Liga Juara-Juara, Roma yang menduduki tangga kelima.

Inter tidak menang dalam enam perlawanan liga dan boleh melupakan trofi juara jika tewas lagi. Roma pula di tangga kelima dengan 40 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2018 @ 8:02 AM