VARDY menyempurnakan sepakan penalti untuk membantu Leicester melakar kemenangan 2-0 ke atas Watford. Foto AFP
Reuters

LONDON: Sepakan penalti Jamie Vardy dan jaringan pada masa kecederaan Riyad Mahrez memastikan kemenangan 2-0 Leicester City ke atas Watford, malam tadi.

Leicester dihadiahkan penalti selepas pertahanan lawan, Molla Wague menjatuhkan Vardy sebelum Mahrez menambah duka Watford.

“Kami puas... kerana ia adalah hasil daripada kerja keras pemain. Kami tahu ia perlawanan yang sukar namun kami bertindak balas dengan baik,” kata pengurus Leicester, Claude Puel.

“Perjalanan kami selepas sambutan Krismas dan tahun baru nyata cukup sukar namun kami meraih kemenangan tanpa bolos. Jika kami mampu kekal dengan sikap positif ini, ia nyata petanda yang bagus.

“Adalah lebih baik jika kami berjaya menjaringkan lebih banyak gol kerana kami memiliki banyak peluang. Namun kemenangan ini pastinya sesuatu yang baik buat pasukan.”

Peluang terbaik Watford hanya hadir menerusi Andre Gray pada minit ke-74 sebaliknya rembatan dilakukan pemain itu berjaya dihalang pertahanan Leicester, Harry Maguire.

Terdahulu, seawal minit kelima perlawanan, Leicester sepatutnya sudah boleh berada di depan sebaliknya percubaan dilakukan Shinji Okazaki menuju tepat ke arah penjaga gol Watford, Orestis Karnezis.

Karnezis terus bertindak cemerlang ketika menafikan percubaan Wilfred Ndidi di atas garisan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2018 @ 11:04 AM