DIMITRI Payet (belakang) meraikan kejayaannya bersama rakan pasukan selepas meledakkan gol buat Marseille. Foto AFP
AFP

PARIS: Dimitri Payet dan Florian Thauvin meledak gol pada babak kedua bagi membantu Marseille menewaskan Caen 2-0, awal pagi tadi sekali gus merampas tangga kedua Ligue 1 daripada Lyon.

Bekas pemain sayap West Ham, Payet memecah kebuntuan gol pada minit ke-55 menerusi sepakan penalti selepas Bouna Sarr dijatuhkan oleh Vincent Bessat.

Thauvin kemudian melengkapkan kemenangan keempat berturut-turut untuk Marseille yang juga gol ke-10 miliknya musim ini pada minit ke-74 menerusi jaringan serong cantik pada jarak 18 meter.

Skuad kendalian Rudi Garcia itu memiliki kelebihan dua mata di atas Lyon yang akan menanti kunjungan pendahulu, Paris Saint-Germain (PSG), esok.

PSG ketika ini mempunyai kelebihan sembilan mata di puncak liga susulan kemenangan memecah rekod 8-0 ke atas Dijon di Parc des Princes pada Rabu lalu.

Penyandang juara Perancis, Monaco menghuni tangga keempat dan dijadual menanti kelab tercorot, Metz, Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 7:44 AM