MOHD Nasriq Baharom bersama Pemain Terengganu Tchetche Kipre (kiri) selepas majlis penyerahan Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Liga Premier PEAM-ASIANA.my. Foto fail
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


TIADA istilah rendah diri buat pemain Negeri Sembilan apabila kembali beraksi di pentas Liga Super musim ini, selepas empat tahun berturut-turut mengharungi cabaran Liga Perdana.

Faktor itu ditegaskan bekas kapten pasukan, Mohd Nasriq Baharom yang yakin dengan kekuatan Negeri Sembilan untuk mendepani cabaran Liga Super musim ini apatah lagi mereka dibentuk menerusi barisan pemain tempatan dan import berwibawa.

Katanya, dia dan rakan sepasukan tiada rasa tertekan untuk mengharungi saingan getir musim ini, biarpun bakal berdepan pasukan yang memiliki reputasi tinggi seperti Johor Darul Ta`zim (JDT), Kedah, Pahang, Perak, Kelantan dan Melaka United.

“Kami amat menghormati pasukan berkenaan yang dilihat antara pencabar terkuat Liga Super sejak beberapa musim sebelum ini, tapi kami tidak boleh jadikan mereka sebagai halangan untuk memenuhi hajat meraih kejayaan.

“Kedudukan sebagai pasukan baru tidak bermakna kami hanya layak berada di bawah, sebaliknya saya rasa semua pasukan memiliki peluang yang sama rata untuk mendominasi saingan dan apa yang penting kami perlu tunjukkan kekuatan sebenar serta konsisten sepanjang musim.

“Saya yakin menerusi barisan pemain yang dijadikan sandaran pada kali ini, kami mampu memberikan cabaran lebih bermakna terhadap mana-mana pasukan lawan,” katanya.

Tonggak pertahanan berpengalaman berusia 30 tahun itu berkata, kombinasi mantap yang berjaya dibentuk antara pemain import dan tempatan ketika ini membuatkan skuad Hobin Jang Hobin sudah sedia untuk memulakan cabaran Liga Super.

Dia yang masuk musim ketiga bersama skuad berkenaan yakin Negeri Sembilan bakal tampil dengan persembahan berbeza kerana pembentukan pasukan dilihat lebih sempurna termasuk mendapat khidmat lima pemain import berkualiti.

“Pembentukan pasukan kali ini dilihat begitu cantik serta lancar dan kami memiliki lima pemain import berkualiti yang mampu menggalas misi getir di Liga Super, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2018 @ 1:37 PM