PASUKAN memanah lelaki Zulfadhli , Lip Lee dan Juwaidi sudah ada kejohanan yang perlu di sertai. -Foto fail
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my


TRIO compound lelaki negara yang meraih pingat emas di Sukan SEA 2017, Ogos lalu bukan mengetepikan kepentingan negara apabila menolak pelawaan menyertai kejohanan PraSukan Asia di Jakarta pertengahan bulan depan.

Tiga pemanah yang dibarisi Mohd Juwaidi Mazuki, Zulfadhli Ruslan dan Lee Kin Lip, sebaliknya sudah mempunyai perancangan tersendiri.

Persekutuan Kebangsaan Memanah Malaysia (NAAM) selepas mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM), baru-baru ini dilaporkan menyenaraikan skuad lelaki dan wanita recurve serta compound pada kejohanan yang membabitkan sembilan negara dari 10 hingga 16 Februari itu.

“Kami menghormati keputusan mahu menyenaraikan kami pada kejohanan itu, namun saya dan Zulfadhli sudah mengesahkan penyertaan pada satu kejohanan di Thailand pada tarikh yang sama manakala Kin Lip menyambut Tahun Baru Cina.

“Bukan kami tidak mengutamakan negara, namun semua persiapan dengan perbelanjaan sendiri sudah dikeluarkan terlebih awal sebelum NAAM menyuarakan hasrat menghantar kami pada kejohanan itu.

“Tawaran dari NAAM hadir lewat termasuk dimaklumkan secara kasar kami bakal ditawarkan kontrak pada bulan depan bagi menghadapi Sukan Asia pada Ogos nanti,” jelas Juwaidi.

Sejak penghujung tahun lalu, barisan pemanah compound negara kabur dengan perancangan dan program mereka sehingga ada yang sudah mengatur sendiri kejohanan yang disertai bagi memastikan tahap kecergasan berada pada tahap terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 7:37 PM