PHIL Jones percaya kelebihan 12 mata milik pendahulu, Manchester City masih boleh dipintas.
Reuters

LONDON: Pertahanan Manchester United, Phil Jones belum dapat melupakan episod duka yang diharungi Red Devils, enam tahun lalu dan percaya kelebihan 12 mata milik pendahulu, Manchester City masih boleh dipintas.

United merapatkan jurang dengan City, Selasa lalu susulan kemenangan 3-0 ke atas Stoke selepas City yang dikendali Pep Guardiola dipalit kekalahan pertama dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) kepada Liverpool di Anfield.

Pada musim pertama Jones di Old Trafford, United yang dikemudi Alex Ferguson membawa kelebihan lapan mata pada April sambil berbaki enam perlawanan.

Begitupun, mereka akhirnya terpaksa melepaskan gelaran kepada City pada hari terakhir liga apabila Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan ketika menentang Queens Park Rangers.

“Bola sepak adalah bola sepak, jangan sesekali berkata tidak,” kata Jones kepada media British.

“Saya masih mengingati musim pertama saya (2011-12) di mana kami mempunyai kelebihan lapan mata, berjalan dengan tenang (semua orang berfikir perkara yang sama) tidak mungkin kami akan tergelincir, dan kami tewas pada hari terakhir.

“Orang boleh bercakap apa yang mereka mahu tetapi kami akan terus menjadi positif dan bergerak ke depan. Kamu tidak akan tahu. Ia berlaku pada 2012 kepada kami jadi mengapa tidak?

Bos United, Jose Mourinho berdepan kritikan selepas dikatakan menggunakan pendekatan lebih konservatif menentang pasukan utama musim ini termasuk ketika seri 0-0 menentang Liverpool di Anfield pada Oktober lalu.

Jones begitupun berpuas hati dengan pelan taktikal yang digunakan pengendali itu dan percaya keputusan yang dilakar membuktikan kelab mereka berada di landasan tepat.

“Orang boleh mengkritik, mempunyai komen mereka sendiri, pandangan, tetapi kami tidak terlalu memikirkannya,” kata Jones.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 10:41 PM