PENYERANG berusia 17 tahun itu berada pada tahap terbaik menjelang penampilan sulungnya. Foto fail
Naqib Nor Said
naqib@nstp.com.my


PENGGEMPUR baru Blue Warrior, Siti Zulaikha Husain sudah bersedia untuk menggegar saingan Liga Hoki Wanita Malaysia apabila pasukannya turun menentang juara bertahan, Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) di Stadium Tun Razak, esok.

Penyerang berusia 17 tahun itu jelas berada pada tahap terbaik menjelang penampilan sulungnya apabila meledak dua gol dan membuat satu bantuan jaringan ketika skuad hoki wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mencatat dua kemenangan aksi pramusim ke atas KL Vipers 3-1 dan UiTM KPT 2-0.

Malah, dia juga diturunkan sebagai penyerang utama dalam kedua-dua aksi itu selepas mula mencipta nama bersama Pahang pada saingan Piala Razak 2017 sehingga mendapat panggilan menyertai kem latihan skuad hoki negara.

“Memang agak terkejut kerana jurulatih (Zulkhairi Ariffin) terus meletakkan kepercayaan kepada saya untuk beraksi sebagai penyerang utama pada dua aksi pramusim dan saya berjanji akan membalas kepercayaan ini dengan menampilkan aksi terbaik.

“Sasaran peribadi saya adalah untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan liga musim ini,” katanya.

Katanya, meskipun masih baru dalam pasukan tetapi dia perlahan-lahan sudah menyesuaikan diri bersama skuad naib juara musim lalu itu menerusi kehadiran beberapa rakan pasukan kebangsaan.

“Mula-mula datang sini saya agak kekok tetapi selepas dua minggu menyertai latihan dan mendapat sentuhan, perlahan-lahan saya mendapat semangat dan kini saya bersemangat untuk beraksi pada perlawanan esok.”

PDRM yang pada awalnya dilaporkan mahu menarik diri, turut diperkuatkan kehadiran tiga bekas pemain India iaitu Ritu Rani, Narender Kaur dan Reena Rani dengan satu-satunya pemain kebangsaan baru yang disambar mereka adalah pertahanan dari Sabah, Nor Asfarina Isahyifika Issahidun.

Dengan tumpuan terarah kepada penampilan sulung tiga pemain import dari India itu, ketajaman Zulaika harus menjadi igauan buat pertahanan TLHT yang dikemudi kapten negara, Siti Nor Amarina Ruhani bersama Juliani Din.

Liga Hoki Wanita Malaysia

Jadual

Esok

Blue Warrior mln TLHT

Std Tun Razak, 5ptg

Penang Juniors mln PKS Uniten-KPT

STd Hoki USM, 5ptg

MSN Kedah mln UiTM-KPT

Std Hoki Kulim, 5ptg

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2018 @ 7:44 PM