BENG Choo akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Tertinggi SUKMA. Foto fail
Azizan Hashim

sukanteam@nstp com.my

TIGA sukan yang digugurkan daripada sukan teras berpeluang dimasukkan semula dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Perak 2018 apabila semua Majlis Sukan Negeri (MSN) sebulat suara mahu angkat berat, taekwondo dan sepak takraw dipertandingkan.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA 2018, Datuk Low Beng Choo berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Tertinggi SUKMA 2018 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurutnya, MSN sedia untuk memberikan alasan yang sewajarnya supaya tiga acara berkenaan dipertandingkan.

“Jika ditanya saya apakah tiga sukan ini berpeluang dipertandingkan, saya berpendapat jika ada rayuan, peluang (untuk disenaraikan) tetap ada, namun berjaya atau tak, itu kita tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma 2018 di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Menurut Beng Choo, alasan MSN mahu tiga acara itu disenaraikan disebabkan program latihan atlet untuk menghadapi temasya dwitahunan itu sudah dibuat sejak lebih setahun lalu.

Beliau berkata, jawatankuasa juga sudah meminta semua negeri supaya meneruskan latihan atlet seperti biasa.

“Latihan perlu diteruskan, jangan diberhentikan, sebab manalah tahu ia dipertandingkan semula. MSN harus menganggap ia sebagai persiapan jangka panjang bukan hanya untuk SUKMA Perak tapi untuk SUKMA Johor selepas ini,” katanya.

Mengenai persiapan Perak menjadi tuan rumah temasya itu dari 12 hingga 22 September ini, Beng Choo berkata, persiapan di semua venue dan keperluan logistik berjalan lancar.

“Kami yakin kerajaan negeri akan pastikan semua venue dan kemudahan siap mengikut jadual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:58 PM