PASANGAN beregu campuran Malaysia, Kian Meng-Pei Jing menentang pasangan Denmark, Anders Skaarup Rasmussen dan Line Hojmark Kjaersfeldt pada pusingan pertama Perodua Malaysia Masters 2018 di Axiata Arena Bukit Jalil. Foto EIZAIRI SHAMSUDIN
Helmi Talkah
helmi.talkah@nstp.com.my


JUARA bertahan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing cemas seketika sebelum mengesahkan tempat ke pusingan kedua Malaysia Masters selepas menewaskan Anders Skaarup Rasmussen-Line Hojmark Kjaersfeldt, hari ini.

Pada aksi di Arena Axiata Bukit Jalil itu, Kian Meng-Pei Jing yang diletakkan sebagai pilihan keempat dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan ke atas pasangan Denmark itu 11-21, 21-16, 21-14 dalam tempoh 52 minit.

“Ini adalah perlawanan pertama dan kami gementar sedikit, semua strategi permainan kami tidak menjadi di set pertama dan banyak buat kesilapan mudah. Di set kedua, kami lebih fokus untuk kutip satu demi satu mata dan berjaya bangkit.

“Saya akui bukan mudah untuk pertahankan kejuaraan kali ini kerana ada beberapa pasangan utama dunia yang lain turut beraksi termasuk rakan senegara (Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie).

“Jadi kami tidak mahu terlalu fikir pasal kejuaraan sebaliknya fokus satu demi satu perlawanan,” kata Pei Jing selepas perlawanan.

Kian Meng-Pei Jing yang juga pasangan ke-11 dunia akan bertemu pemenang perlawanan antara rakan senegara, Chen Tang Jie-Cheah Yee See atau beregu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Putitta Supajirakul bagi perebutan tempat ke suku akhir.

Sementara itu, dua lagi beregu campuran negara, Peng Soon-Liu Ying dan Soon Huat-Shevon turut mara ke pusingan kedua.

Masih segar dengan kejayaan muncul juara Thailand Masters, Ahad lalu, Peng Soon-Liu Ying mengekalkan rentak cemerlang itu apabila mengetepikan cabaran Bastian Kersaudy-Lea Palermo dari Perancis 21-11, 21-17 dan mereka bertemu pilihan keenam dari Denmark, Mathias Christiansen-Christinna Pedersen bagi merebut tempat ke suku akhir.

Soon Huat-Shevon pula menang ke atas pasangan Perancis, Jacco Arends-Audrey Fontaine 21-9, 22-20 dan akan berdepan Wang Chi Lin-Lee Chia Hsin dari Taiwan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 8:39 PM