DURAKOVIC pilih Cornthwaite lengkapkan kuota import The Bos Gaurus. Foto fail
Azizan Hashim
sukanteam@nstp.com.my


PERAK akhirnya melengkapkan kuota import dengan mengikat Robert Cornthwaite.

Jurulatihnya, Mehmet Durakovic berkata, pengambilan tonggak benteng dan kapten Western Sydney Wanderers FC yang beraksi dalam Liga Australia (A-League) itu dimuktamadkan pagi ini.

Bek tengah yang mempunyai ketinggian 1.95 meter itu akan berusia 33 tahun pada Oktober depan dan bukan asing di negara ini kerana pernah menyarung jersi Selangor pada 2015-2016.

Menurut Durakovic, beliau mencadangkan Cornthwaite kepada The Bos Gaurus kerana mengetahui kemampuan bekas anak buahnya itu.

“Ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Kami memang memerlukan seorang pemain pertahanan berwibawa. Saya gembira dia sudi menyahut panggilan saya untuk datang ke Perak,” kata Durakovic.

Cornthwaite akan mengetuai benteng Perak bersama selepas kontrak Thiago Aquino tidak diperbaharui. Dia akan bergandingan dengan Shahrul Mohd Saad, Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim dan Idris Ahmad.

“Sekarang Perak sudah lengkap. Kini fokus tertumpu untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan pembukaan, 4 Februari ini,” katanya.

Pemain kelahiran Newcastle, England itu menjadi import kelima selepas Perak menandatangani Gilmar Da Silva Filho, Leandro De Souza serta ketua pasukan Filipina, Misagh Medina Bahadoran dan pemain kelahiran Brazil, Wander Luiz Bitencourt Junior.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 7:52 PM