SABREE yang sebelum ini beraksi bersama Negeri Sembilan akan memperkuatkan jentera Sarawak musim ini.
Mohd Amin Jalil
sukanteam@nstp.com.my


BEKAS pemain Negeri Sembilan, Sabree Mat Abu yakin dapat memberikan sumbangan lebih baik kepada pasukan baru Sarawak dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sabree berkata, keyakinan itu bersandarkan pengalamannya beraksi dalam beberapa pasukan Liga Super sebelum ini termasuk Kedah dan PKNS FC.

Malah katanya, pengalaman berlatih di bawah ketua jurulatih, Ian Gillan ketika pengendali dari Australia itu melatih skuad Kedah sebelum ini memudahkannya memahami corak latihan.

“Pelawaan Ian untuk bersama pasukan Sarawak membuatkan saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran itu kerana saya pernah berlatih di bawah kendalian beliau ketika bersama Kedah, sebelum ini.

“Pengalaman itu sudah tentu memudahkan saya untuk melaksanakan tugas diamanahkan dengan baik terhadap pasukan, selain membantu melancarkan lagi tugas jurulatih dalam membentuk skuad mantap.

“Justeru saya yakin dapat membantu Sarawak dalam usaha mengembalikan semula reputasi pasukan ini, tambahan pula Sarawak kali ini menampilkan ramai pemain muda,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Musim lalu, Sabree beraksi dengan Negeri Sembilan bermula pada pertengahan musim selepas dipinjamkan dari PKNS FC dan berjaya membantu skuad Hobin Jang Hobin menamatkan saingan di tangga keempat Liga Perdana.

Skuad Bujang Senang berkunjung ke Stadium Arena, Universiti Malaya hujung minggu ini bagi aksi persahabatan menentang FELCRA FC, UiTM FC dan FELDA United.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 5:01 PM