Farah Azharie
farahazharie@nstp.com.my


PERSEKUTUAN Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) berharap tuan rumah Sukan Asia, Indonesia dapat bersikap telus dalam aspek pengadilan bagi mengelak insiden pemarkahan tidak adil ketika Sukan SEA kembali berulang.

Pengurus Besar PESAKA, Datuk Osman Nok (gambar) mahu mengelak insiden sama berulang di Jakarta.

Ketika Sukan SEA, Ogos tahun lalu, Indonesia menuduh Malaysia menipu selepas gandingan negara, Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif meraih pingat emas dalam saingan seni lelaki apabila pengurus kontinjen mereka, Edhy Prabowo mendakwa dua atlet negara itu diberikan markah tinggi secara tidak adil.

“Kami berasa bimbang namun PESAKA akan berhubung secara terus dengan Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (IPSF) bagi memastikan kualiti wasit lebih baik dan bersikap telus,” katanya.

Sementara itu, PESAKA menamakan 22 pesilat dalam senarai kontijen ke Sukan Asia dan menaruh harapan kepada semua pemenang pingat emas dan perak Sukan SEA untuk cuba menghadirkan kejayaan buat Malaysia.

Osman berkata separuh daripada 22 nama yang disenaraikan itu adalah pesilat yang meraih pingat pada Sukan SEA termasuk juara dunia, Mohd Al Jufferi Jamari, Razak Ghazali, Muhammad Faizul Nasir, Mohd Fauzi Khalid dan Siti Rahmah Nasir.

“Kami akan ambil bahagian dalam 16 kategori, membabitkan 22 atlet. Daripada senarai itu, ia turut membabitkan mereka yang menang emas dan perak di Sukan SEA lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2018 @ 12:28 AM