PEMAIN Kelantan sedang gigih berlatih bagi menghadapi aksi persahabatan menentang PKNP. FOTO/ZAMAN HURI ISA
Hasbullah Ibrahim
sukanteam@nstp.com.my


KELANTAN bakal menguji kemampuan trio import baharu dalam aksi ketiga pra-musim menentang Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam esok.

Ketua jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh berkata, perlawanan ujian ketiga dengan pendatang baharu Liga Super itu juga akan memberi peluang menilai prestasi pemain menjelang aksi keempat berdepan kelab Buriram FC dari Thailand di tempat lawan pada 27 Januari ini.

“Soal menang atau tewas dalam aksi perlawanan persahabatan tidak menjadi keutamaan namun proses membentuk persefahaman menjadi fokus utama.

“Saya bakal membuat beberapa pencaturan taktikal untuk disesuaikan dengan gandingan pemain import dan tempatan yang dipilih dalam kesebelasan utama pasukan kelak.

“Semua pemain sudah menjalani latihan dengan menumpukan aspek taktikal dan kami sedang berusaha meningkatkan tahap persefahaman antara pemain import dan tempatan.

“Kelantan juga dalam rangka persiapan mewakili negara bagi merebut Piala Super Sportfix yang menyaksikan saingan tiga penjuru menentang dua pasukan liga utama dari Indonesia dan Thailand dari 13 hingga 20 Januari depan,” katanya.

Mengulas lanjut prestasi pemain import, Sathit berpuas hati serta yakin dengan komitmen empat import baharu – Do Dong Hyun dari Korea Selatan, Cassio Francisco De Jesus, Bruno Da Silva Lopes (Brazil) dan Ferdinand Alfred Sinaga (Indonesia) - mampu memberi impak positif untuk memburu kemenangan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Perlawanan ujian pertama membabitkan pasukan dari Liga FAM, UBES MPKB BRI yang berlangsung di padang Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) sebelum ini berakhir dengan kemenangan 4-0 dan seri 0-0 dengan Terengganu FC II (TFC II).

“Kita bakal menurunkan semua pemain termasuk pemain muda serta import bagi membentuk skuad sebenar sebelum menempuhi saingan liga musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 10:59 AM