BARISAN pemain KLHC menjulang piala selepas menjuarai Hoki Final Piala Tan Sri P Alagendra. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Mohd FitrieMuhamad
mfitrie@nstp.com.my


“BAGI saya, ia seperti memenangi loteri!. Itu reaksi Ketua Jurulatih Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Lim Chiow Chuan selepas pasukannya unggul mengatasi cabaran Kelab Hoki Terengganu (THT) 4-3, menerusi penentuan penalti untuk menjulang Piala Tan Sri P Alagendra buat kali pertama, semalam.

Kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat perlawanan dan juara ditentukan menerusi pukulan penalti. Kegagalan tiga pemain THT, Manraj Singh, Fitri dan abangnya, Faizal Saari menyempurnakan pukulan penalti nyata memberi kegembiraan buat KLHC menjelang saingan liga musim 2018.

“Ia kemenangan yang cukup manis kerana kami mengharungi perlawanan yang sukar selepas lawan terlebih dulu meraih dua gol. Namun pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka tidak cemas, tenang melakukan tanggungjawab mereka seperti yang sudah dirancang.

“Akhirnya kami berjaya ‘kembali dalam permainan’. Apabila aksi terpaksa ditentukan menerusi penalti, bagi saya, ia seperti loteri kerana mana-mana pasukan boleh memenangi perlawanan,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam, THT mendahului dua gol dalam tempoh 11 minit pertama menerusi bintang import dari Argentina, Gonzalo Peillat pada minit ke-10 dan Manraj Singh (m-11).

Bagaimanapun, kedudukan kembali seimbang selepas KLHC meraih dua gol menerusi Jang Jonghyun pada minit ke-16 dan Mohd Samim Mohd Yusof pada minit ke-23, diikuti gol ketiga menerusi Joshua Pollard (m-34).

Namun Peillat hadir tepat pada masanya untuk menghadiahkan gol ketiga THT, untuk memaksa gelaran juara ditentukan menerusi penalti.

Sementara itu, pemain berpengalaman KLHC, Mohamad Sukri Abdul Mutalib mengakui, kejayaan itu membuktikan semangat rakan sepasukannya tidak pernah luntur walaupun ketinggalan.

“Kita letakkan satu standard tinggi untuk memulakan saingan liga. Kejayaan ini bermakna kita tidak berputus asa. Ia akan menjadi kunci kejayaan jika ketika kekal tenang melaksanakan arahan jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 5:46 PM