Shalin ketika beraksi di Sukan SEA KL2017 di Sunway Megalanes. Foto NSTP
Fabian Peter
fabian.mark@nstp.com.my


PEMAIN bowling negara Shalin Zulkifli bermula hebat musim ini apabila menduduki tangga ketiga pada Kejohanan Antarabangsa AIK di Sweden, semalam.

Pemain berusia 40 tahun itu bagaimanapun berdepan cabaran getir apabila terpaksa melakukan lontaran secara konsisten bagi melepasi lima peringkat sebelum layak ke pusingan akhir stepladder di Arsta, dekat Stockholm.

Shalin, yang memainkan peranan utama membantu Malaysia meraih pingat emas berpasukan pada Kejohanan Bowling Dunia bulan lalu, tewas 220-226 pada aksi stepladder di tangan juara Bernice Lim dari Singapura.

Bernice kemudiannya menundukkan pemain tempatan Jesper Svensson 240-233 bagi mengesahkan kejuaraan.

“Saya berasa bertuah dan gembira. Saya mungkin melakukan beberapa kesilapan di sini sana tapi OK, saya belajar sesuatu daripadanya dan cuba meningkat.

“Saya amat bangga untuk meraih podium pertama dalam Jelajah Bowling Eropah (EBT),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berikutan kejayaan itu, Shalin membawa pulang 20,000 Krona (kira-kira RM10,000).

Shalin dan 10 rakan sepasukannya - Rafiq Ismail, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, Adrian Ang, Syafiq Ridhwan, Alex Liew, Esther Cheah, Ahmad Muaz Fishol dan Timmy Tan - berlepas ke Helsinki, Finland hari ini untuk bertanding dalam satu lagi kejohanan EBT minggu ini, Terbuka Brunswick Ballmaster.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 1:14 PM