NEYMAR (dari kiri), Mbappe dan Di Maria masing-masing ledak dua gol untuk pacu kemenangan PSG. FOTO/AFP
AFP

PARIS: Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria masing-masing meledak dua gol ketika Paris Saint-Germain melupakan ketiadaan Edinson Cavani sebelum menang 6-1 di laman lawan menentang musuh Ligue 1, Rennes pada aksi Piala Perancis, awal pagi tadi.

PSG membida untuk memenangi trofi itu bagi musim keempat berturut-turut, sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana kelab dan mereka jelas tidak bersimpati dengan Rennes di Brittany.

Penjaring terbanyak Cavani tidak terbabit selepas pulang lewat daripada cuti Krismas dan Tahun Baru di Uruguay, jadi Di Maria tampil di bahagian serangan di samping Mbappe dan Neymar.

Mbappe membuka tirai jaringan selepas sembilan minit, menyudahkan hantaran jauh Thiago Silva.

Satu gerakan menarik menyaksikan PSG menggandakan kelebihan dengan Adrien Rabiot dan Marco Verratti berganding hebat sebelum melorongkan kepada Neymar yang meledak masuk.


NEYMAR (kiri) ledak dua gol ketika PSG menewaskan Rennes. FOTO/AFP

Di Maria menyudahkan hantaran silang Yuri Berchiche dari sebelah kiri bagi gol ketiga pada pertengahan babak pertama dan gol paling menarik hadir apabila Neymar menjadikan kedudukan 4-0 dua minit sebelum rehat.

PSG memulakan gerakan dari kotak penalti mereka sendiri sebelum Neymar merobek pertahanan lawan dan akhirnya menyempurnakan gol daripada hantaran Mbappe.

Rennes membalas satu gol pada babak kedua menerusi sepakan penalti Benjamin Bourigeaud selepas Thiago Motta memegang bola, namun masih ada masa buat anak buah Unai Emery untuk menyumbat dua gol lagi.

Mbappe mengumpan kepada Di Maria untuk gol kelima dan pemain Argentina itu membalas dengan hantaran buat Mbappe melengkapkan kemenangan besar itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 10:41 AM