Devinder Singh
devinder@nst.com.my


RATU skuasy negara, Datuk Nicol David akan memulakan perjalanan musim 2018 yang dianggap penuh mencabar dengan menyertai Masters Arab Saudi, esok.

Selain kejohanan yang menjadi rutin wajib termasuk Siri Jelajah Dunia PSA dan Kejohanan Juara-Juara di New York bulan ini, Nicol juga mempunyai tugas untuk mewakili negara di beberapa temasya besar.

Antaranya ialah Sukan Komanwel Gold Coast, Australia dan Sukan Asia di Indonesia, yang bakal menyaksikan Nicol mahu mempertahankan tiga pingat emas keseluruhan yang diraih di dua temasya berkenaan.

Kejohanan Berpasukan Wanita Dunia juga dijadualkan pada penghujung tahun ini dan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), S Maniam mengakui Nicol akan berdepan tahun yang sangat mencabar.

“Tahun ini sangat mencabar buat Nicol dengan kejohanan utama, Sukan Komanwel dan Sukan Asia, di mana negara kita mengharapkannya dia mampu memberi sumbangan.

“Dia bekerja keras dan jika gagal mencapai apa yang dia serta SRAM inginkan, ia bukanlah disebabkan faktor kerana dia kurang berusaha,” kata Maniam.

Nicol yang kini berada di ranking keenam dunia akan memulakan kempen 2018 di Riyadh dengan menentang pemain Mesir, Mayar Hany dan jika berjaya mara ke pusingan kedua, dia akan berdepan pemenang antara pilihan ke-10, Joshna Chinappa (India) atau Samantha Cornett (Kanada).

Pilihan kedua, Camille Serme bakal menanti Nicol di suku akhir. Untuk rekod, pemain dari Perancis itu berjaya menumpaskan Nicol yang juga juara dunia lapan kali pada pertemuan terakhir mereka di Terbuka Hong Kong, November lalu.

Selepas kejohanan ini, Nicol akan berangkat ke New York untuk menyertai Kejohanan Juara-Juara yang bermula 20 Januari.

Nicol diundi bertemu Joelle King dari New Zealand di pusingan kedua dan berkemungkinan berdepan Camille sekali lagi di saingan suku akhir.

Terbuka Windy City pada Februari adalah kejohanan Siri Dunia yang terakhir sebelum Sukan Komanwel (4 hingga 15 April), namun setakat ini belum dapat dipastikan sama ada Nicol akan beraksi di Chicago atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 9:10 PM