NASSER menamatkan perlumbaan sejauh 32 km dari kawasan Lima ke Pesco dalam tempoh 21 minit 51 saat.
AFP

PISCO, PERU: Juara dua kali Nasser Al-Attiyah mengejutkan juara bertahan Peugeot apabila meraih kemenangan dengan memandu Toyota pada peringkat pembukaan Rali Dakar sejauh 9,000 kilometer hari ini.

Pemandu Qatar itu yang menjulang gelaran berkenaan pada 2011 dan 2015 berjaya menamatkan perlumbaan sejauh 32 km dari kawasan Lima ke Pesco dalam tempoh 21 minit 51 saat.

Bagaimanapun ia hari yang cukup mengecewakan buat juara rali dunia sembilan kali Sebastien Loeb yang memburu kemenangan pertama di Dakar.

Harapan pelumba Perancis itu musnah apabila Peugeot yang dipandunya mengalami masalah brek, menyebabkannya ketinggalan 5 minit 37 saat berbanding pendahulu dan menduduki tempat ke-29.


NASSER (kanan) bersama pemandu kedua, Mathieu Baumel meraikan kejayaan selepas tamat pelumbaan. FOTO/AFP

“Mujurlah ia hanya 31 kilometer!” kata Loeb yang berhasrat menjadi pelumba keempat menjuarai rali dunia dan Dakar selepas dua pelumba Finland Ari Vatanen dan Juha Kankkunen serta pelumba Sepanyol Carlos Sainz.

“Saya berjaya melakukannya tanpa brek! Tanpa brek!” katanya sebelum mengakui tidak tahu menahu dari mana puncanya masalah itu dan lampu brek keretanya tidak memberikan sebarang amaran. Brek tangan juga tidak berfungsi.

“Tanpa brek, ia memang mengarut.”

Pelumba Afrika Selatan Bernhard Ten Brinke ( 25 saat di belakang Nasser) serta pelumba Peru Nicolas Fuchs, yang memandu Borgward (34 saat) melengkapkan podium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 12:45 PM