JOHNSON melakukan eagle pada lubang ke-12 sejauh 70 ela. FOTO/AFP
Reuters

LOS ANGELES: Pemain nombor satu dunia Dustin Johnson mempamerkan kebangkitan untuk mendahului dengan dua pukulan pada pusingan ketiga Kejohanan Juara-Juara Sentry di Hawaii hari ini.

Cemerlang menerusi eagle pada lubang ke-12, di mana dia melakukan pukulan sejauh 70 ela ke lubang, Johnson melakar rekod terbaik hari itu dengan tujuh di bawah par 66.

Johnson yang melakukan pukulan jauh, mengumpul 16 di bawah par 203 keseluruhan manakala Brian Harman yang berkongsi kedudukan dengannya buat sementara pada hari itu, mengekorinya dengan 69 pukulan untuk berada di tangga kedua dengan 14 di bawah par.

Pemain Sepanyol, John Rahm mengumpul lima di bawah par di lima lubang terakhir untuk berkongsi 66 pukulan dengan Johnson pada hari itu, ketinggalan empat pukulan.


JOHNSON sedang melakukan pukulan. FOTO/AFP

“Saya memukul bola dengan baik, ia memberi kelebihan buat saya, begitu juga dengan pukulan iron dan ia bergerak lancar (di kawasan green),” kata Johnson.

“Saya melakukan pukulan sempurna, mendarat ke green dan terus ke lubang,” katanya mengenai pukulan eagle yang jatuh 30 ela dari lubang dan memukul bola tepat ke lubang berkenaan.

Johnson mempamerkan prestasi serupa seperti awal musim lalu sebelum terpaksa menarik diri daripada Masters selepas jatuh dari tangga.

Kecederaan belakang menyebabkannya tidak dapat beraksi selama empat minggu dan sebaik kembali pulih, kejohanan utama sudah berakhir dan tumpuan beralih kepada Justin Thomas dan Jordan Spieth.

“Saya mempunyai perancangan permainan yang bagus di sini, saya tidak fikir akan mengubahnya esok,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 11:08 AM