ABU Samah mengesahkan kehadiran pasukan Folca dama Jelajah Asia tahun ini.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my


MALAYSIA dijangka mempunyai pasukan berstatus benua yang baharu dikenali sebagai Folca Amskins Factory bagi bersaing dalam kalendar Jelajah Asia tahun ini.

Perkembangan itu disahkan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Wahab yang menjelaskan, pasukan berkenaan dalam proses pendaftaran dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

“Walaupun tempoh pendaftaran sudah tamat November lalu, PKBM mengemukakan rayuan kepada UCI dan ia diterima.

“Jadi, pasukan berkenaan perlu menyelesaikan semua urusan pendaftaran dalam tempoh yang ditetapkan.

“Ia satu perkembangan yang bagus apabila lebih ramai pelumba tempatan berpeluang bersaing di pentas antarabangsa,” jelasnya.

Malaysia kini hanya mempunyai dua pasukan berstatus benua iaitu Terengganu Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) yang bersaing dalam Jelajah Asia.

Kehadiran pasukan berkenaan pastinya akan merancakkan saingan selain membantu negara mengutip mata bagi memastikan tiket ke Olimpik 2020 selepas tidak layak ke Olimpik Rio, dua tahun lalu.

Difahamkan, pasukan baharu berkenaan dianggotai bekas Raja Pecut Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010, Anuar Manan, Amir Mustafa Rusli, Nik Mohd Azwan Zulkiflie, Sofian Nabil Omar Mohd Bakri, Saufi Mat Senan serta beberapa pelumba lain.

Malah bekas jurulatih TSG, Sebastian Duclos difahamkan melatih pasukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2018 @ 5:22 PM