Lobo (kanan) diasak pemain Perak, Yashir Armando pada aksi Liga Super musim lalu. Foto DANIAL SAAD
Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my

PERSATUAN Bolasepak Pulau Pinang (FAP) berdepan risiko dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila bekas pemain importnya, Reinaldo Lobo mendakwa isu tuntutan tunggakan gajinya masih belum selesai.

Lobo berkata, dia tidak akan bertolak ansur lagi kepada bekas majikannya itu selepas sekian lama menunggu untuk menyelesaikan isu berkenaan secara profesional.

“FAP masih berhutang enam bulan gaji kepada saya. Ia bukan satu jumlah yang kecil, sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan saya kerana bola sepak adalah sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Saya sudah cuba menyelesaikan isu itu dengan berunding tapi tiada apa-apa tindakan dilakukan oleh FAP. Mereka hanya mendiamkan diri.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu ini hingga ke FIFA. Tapi, selepas bertolak ansur serta menunggu, saya rasa tindakan ini adalah jalan terakhir untuk menuntut hak saya.

“Saya juga turut membuat tuntutan melalui FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Kini, saya masih menunggu tindakan daripada kedua-dua badan induk itu,” ujar Lobo.

Pemain kelahiran Brazil itu adalah antara tulang belakang Pulau Pinang sejak 2015 dan membantu pasukan berkenaan naik ke Liga Super 2016.

Namun, kecederaan serius yang dialaminya memaksa Harimau Kumbang menyisihkan Lobo pertengahan musim lalu tanpa menamatkan kontrak.

“Selama tiga musim memberi komitmen 100 peratus kepada pasukan, saya sedih apabila dilayan sebegini terutama selepas mengalami kecederaan.

“Saya masih sayangkan Pulau Pinang, jika boleh mahu terus bersama mereka walaupun kini kembali bermain di Liga Perdana. Tapi dengan apa yang terjadi, saya perlu mencari haluan baru,” katanya.

Kenyataan Lobo itu sekali gus menafikan spekulasi dia akan kembali memperkukuhkan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2018 @ 1:29 PM