BARISAN pelumba TSG mengharungi sesi latihan. FOTO Osman Adnan
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@nstp.com.my

TERENGGANU Cycling Team (TSG) sudah bersedia mengharungi musim baru Jelajah Asia terutamanya dengan kedudukan kewangan yang semakin kukuh.

Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, mereka berjaya mengumpul penajaan berjumlah RM7.5 juta bagi mengharungi musim 2018.

“Terdapat kira-kira 22 syarikat tempatan dan luar negara menaja TSG dengan jumlah keseluruhan bernilai RM6 juta manakala kerajaan negeri menyumbangkan RM1.5 juta.

“Ia cukup bagi menguruskan TSG untuk tempoh setahun,” katanya.

Bagaimanapun, Nasiruddin berkata, pihaknya sentiasa mencari dan mengamalkan sikap terbuka sekiranya ada pihak yang ingin menaja TSG.

TSG menamatkan saingan Jelajah Asia di tempat ke-12 pada 2017 dan meletakkan sasaran untuk kembali menjadi antara lima pasukan terbaik tahun ini.

Mereka pernah muncul pasukan ranking pertama Jelajah Asia pada musim 2012, iaitu tahun kedua penyertaan selepas penubuhan pada 2011.

Musim ini, khidmat Jeremy Hunt sebagai jurulatih dikekalkan selain lima pelumba import iaitu Maral Batmunkh Erdene (Mongolia), Drew Morey (Australia) dan Goh Soon Huat (Singapura) serta bekas pelumba pasukan Pro Tour dari Team Dimension Data, Metkel Eyob.

Gandingan adik-beradik, Mohd Zamri dan Harrif Salleh tetap menjadi taruhan selain mengekalkan beberapa pelumba tempatan berpengalaman yang lain.

TSG akan menyertai Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 23 Januari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2018 @ 2:53 PM