PEMAIN hoki wanita menjalani ujian kecergasan ketika di padang MSN Bukit Jalil, baru-baru ini. FOTO/OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


PENCAPAIAN cemerlang sepanjang 2017 menyaksikan skuad hoki wanita negara mula membuka mata pasukan gergasi dunia, China yang menawarkan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka sebelum bermulanya saingan Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

Menyifatkannya sebagai sesuatu yang agak mengejutkan, pengendali skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang baru menerima surat tawaran itu berkata, jemputan daripada China itu dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada skuad negara yang kini tidak lagi dipandang rendah.

“Kalau dua tahun lalu, hasrat kami untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad utama China langsung tidak dilayan. Sebaliknya mereka menawarkan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad remaja atau kelab.

“Tapi sekarang, skuad utama mereka mahu mengadakan empat siri perlawanan persahabatan dengan kita di Beijing sebelum bermulanya Sukan Asia.

“Bagi pasukan yang dua tahun lalu tidak mahu bermain dengan kita tetapi sekarang mempunyai persepsi berbeza, saya kira ia adalah satu pengiktirafan yang besar untuk kita.

“Mungkin antara sebab mereka mahu beraksi dengan kami adalah sebagai persiapan ke Sukan Asia dan mengambil kira keputusan di Piala Asia,” katanya.

Pada aksi sulung saingan Piala Asia di Kakamigahara, Jepun, Oktober tahun lalu, skuad negara hampir mengejutkan lawan mereka itu apabila mendahului 4-3 ketika perlawanan berbaki kurang dua minit, namun akhirnya tewas 4-5.

Dhaarma berkata, beliau bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berhubung jemputan daripada pasukan yang menduduki ranking kelapan dunia itu.

“Saya sudah serahkan surat tawaran itu kepada Pengarah Teknikal (Terry Walsh) untuk membuat keputusan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 6:10 PM