CONTE gembira anak buah belasah Stoke 5-0. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Pengurus Chelsea, Antonio Conte menganggap musim 2017 adalah yang terbaik buat juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) terutamanya selepas membelasah Stoke City 5-0, malam tadi.

Walaupun skuad kendalian Conte ketinggalan agak jauh daripada pendahulu liga, Manchester City, pengendali dari Itali itu tetap gembira dengan pencapaian yang diraihnya sejak membimbing The Blues 12 bulan lalu.

Di tahun pertamanya, Conte cemerlang menghadiahkan kejuaraan EPL kepada Chelsea selain turut melangkah ke perlawanan akhir Piala FA sebelum tumbang dalam aksi kemuncak itu.

“Saya gembira untuk menutup tahun ini dengan catatan yang dilakukan, baik untuk pemain, baik untuk kelab dan juga penyokong,” kata Conte.

“Tahun ini sungguh menakjubkan kerana memenangi kejuaraan di England bukan mudah.

“Pastinya kejayaan menjulang trofi di musim pertama akan sentiasa diingati dalam fikiran saya, dan untuk tahun depan kami masih lagi bersaing dalam empat pertandingan utama,” kata bekas pengendali kebangsaan Itali itu.

Memiliki ramai pemain berbakat, Conte dilihat tidak berhadapan dengan sebarang masalah untuk melakukan perubahan dalam kesebelasan utama ketika menentang Stoke City di Stamford Bridge.


ZAPPACOSTA menjaringkan gol kelima Chelsea. FOTO/REUTERS

Dengan merehatkan bintang mereka seperti Eden Hazard, Cesc Fabregas dan Andreas Christensen, tuan rumah meraih jaringan menerusi Rudiger pada minit ketiga, Danny Drinkwater (m-9), Pedro (m-23), Willian (m-73) dan sepakan penalti Davide Zappacosta (m-88).

“Kami mengharungi lima perlawanan sukar bulan ini. Kami perlu bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara.

“Jadi kami perlu meletakkan diri dalam setiap perlawanan untuk mendapat tiga mata penuh dan memberi tekanan kepad pasukan di atas,” katanya.

Kemenangan ini menyaksikan Chelsea mengambil alih tempat kedua daripada Manchester United yang terikat tanpa jaringan ketika bertemu Southampton.

Chelsea kini mengutip 45 mata dalam 21 perlawanan setakat ini, manakala pendahulu liga Manchester City mengumpul 58 mata dalam 20 aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 11:46 AM