WILSHERE (kanan) tekad bantu perkasa Arsenal. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Jack Wilshere percaya dia semakin menghampiri prestasi terbaiknya sebagai persediaan mengisi kesebelasan utama Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima berturut-turut bertemu West Bromwich esok.

Perlawanan itu bakal menyaksikan pengendali Arsenal, Arsene Wenger mengharungi perlawanan ke-118 sebagai pengurus, mengatasi rekod dicatat Alex Ferguson bersama Manchester United sebelum ini serta menawarkan peluang buat The Gunners memburu tempat dalam kelompok empat teratas.

Bagi Wilshere, ia adalah peluang buatnya membuktikan kemampuan sebenar selepas kakinya patah ketika menamatkan tempoh pinjaman di Bournemouth musim lalu.

Sejak dinaikkan pangkat ke dalam kesebelasan utama Wenger, Wilshere tampil cemerlang dan meletakkan dirinya sebagai calon untuk menyertai England ke Piala Dunia di Russia tahun depan.

Persembahan terbaru pemain 25 tahun itu ketika kemenangan 3-2 dke atas Crystal Palace - kejayaan yang meletakkan Arsenal hanya satu mata di bawah kelompok empat teratas - menggamit pujian ke atas dirinya terutama hantarannya yang mencetus gol kedua Alexis Sanchez.


WILSHERE (kiri) yakin dapat semula sentuhan selepas pulih daripada kecederaan.

“Saya gembira dengan prestasi saya tahun lalu dan saya mungkin lebih baik sekarang,” kata Wilshere. “Saya rasa lebih baik, lebih cergas dan semakin baik dari perlawanan ke perlawanan. Saya menikmati permainan saya.”

Sementara itu West Brom belum menang dalam 18 perlawanan EPL termasuk enam di bawah pengendali baharu, Alan Pardew yang menerima tamparan hebat apabila kehilangan tonggak utama, Nacer Chadli untuk tempoh dua bulan akibat kecederaan.

Pemain Belgium itu hanya bermain tiga kali dalam aksi liga musim ini kerana kecederaan pinggul dan terpaksa dikeluarkan hanya selepas 15 minit beraksi ketika kekalahan 3-1 di tangan Stoke City hujung minggu lalu.

“Ia sesuatu saya perlu fikirkan pada Januari, kerana dia adalah seorang pemain berkualiti yang akan meninggalkan pasukan untuk tempoh agak panjang,” kata Pardew.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 12:42 PM