GUARDIOLA (kanan) mahu pemainnya mengekalkan momentum.
AFP

NEWCASTLE: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola akan menggunakan sistem penggiliran pemain dalam usahanya ‘menulis semula sejarah Eropah’ bermula dengan aksi melawan Newcastle dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL), esok.

City menewaskan Bournemouth dalam aksi EPL, Sabtu lalu untuk terus mengekalkan rekod bersih mereka kepada 17 kemenangan berturut-turut untuk kekal berada di puncak liga.

“Perkara paling penting waktu ini adalah untuk mengekalkan momentum baik dengan pemain harus cergas dalam setiap perlawanan,” kata Guardiola.

“Skuad kami cukup besar dan saya akan menggunakan penggiliran pemain bagi memastikan kami dapat bersaing dalam semua pertandingan sekali gus meraih keputusan positif.”

Katanya, penggiliran itu akan bermula dengan aksi menentang Newcastle apabila beberapa pemain yang tidak beraksi hujung minggu lalu akan disenaraikan di Stadium St James Park esok.

“Gabriel tidak bermain ketika bertemu Bournemouth. Dia sebelum itu beraksi selama 120 minit menentang Leicester (dalam Piala Liga) dan dia antara pemain paling menyerlah serta membantu menaikkan intensiti pasukan.


CITY (jersi biru) terus mengekalkan rekod tanpa kalah 17 perlawanan. FOTO/AFP

“Danilo, Bernardo dan Gundogan semuanya bermain menentang Bournemouth, dan kami masih mempunyai Yaya Toure.

“Sudah tentu kami akan melakukan penggiliran pemain. Kami terpaksa bermain satu perlawanan dalam empat hari dan pemain yang beraksi akan direhatkan untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Berdasarkan jadual liga, City dilihat berpeluang cerah untuk meraih tiga mata penuh dalam tiga aksi selepas ini kerana lawan yang ditemui Newcastle, Crystal Palace dan Watford dilihat masih bergelut dengan prestasi.

Bagaimanapun, ujian terbesar mereka dijangka pada pertengahan Januari ini apabila bakal bertandang ke Liverpool.

“Sejak bulan Ogos lalu, kami berjaya mengharungi kempen liga dengan cemerlang apabila meraih kemenangan demi kemenangan dan ia sesuatu yang amat menggembirakan.

“Tiada apa yang lebih istimewa daripada kemenangan kerana kami ketika ini agak selesa berada di puncak liga serta berpotensi untuk menamatkan saingan di tempat pertama,” katanya yang pernah membimbing Bayern Munich dan Barcelona sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 2:17 PM