RAMON Marcote (kanan) yang bakal mengikat kontrak sebagai jurulatih Kedah bagi musim depan meninjau sesi latihan. FOTO/IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my


PASUKAN kedah menjadi wakil tunggal Malaysia bersaing di kejohanan Piala Super Suramadu 2018 yang akan berlangsung di Stadium Gelora Bangkalan, Jawa Timur, Indonesia bermula 8 hingga 12 Januari depan.

Sumber dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), menyatakan pasukan itu sah akan beraksi dalam kejohanan sempena memperingati ulang tahun kedua Madura United FC pada 10 Januari 2018 ini yang turut disertai tiga lagi kelab dari Indonesia iaitu Madura United, Persebaya Surabaya dan Persela FC.

Objektif penganjuran kejohanan ini adalah untuk mengeratkan ikatan perhubungan terutama dalam bidang bola sepak antara Malaysia dan Indonesia.

Perlawanan serta pembabitan Kedah dalam Piala Super Suramadu ini adalah aksi perlawanan pra musim serta pemanas badan sebelum bermulanya Liga Super 2018.

Menerusi maklumat awal yang diberikan, pasukan Selangor dan PKNS FC juga dijemput untuk menyertai kejohanan ini tetapi pertukaran terpaksa dilakukan pada saat akhir.

Lokasi pertandingan di Stadium Gelora Bangkalan (SGB) ini juga dikatakan bakal mendapat liputan siaran secara langsung seluruh Indonesia melalui salah satu stesen televisyen nasional di republik itu.

SGB yang boleh menempatkan seramai 15,000 penonton itu terletak di daerah Bangkalan, Madura Jawa Timur Indonesia dan menjadi gelanggang buat Persepam Madura United, Perseba Bangkalan serta Madura United.

Skuad kendalian Ramon Marcote itu juga akan mengadakan perlawanan persahabatan bertemu PKNP FC di Mini Stadium UUM, Sintok Kedah pada 17 Januari serta menyertai Kejohanan Tiga Penjuru membabitkan Sabah, DPMM Brunei, Kedah di Kota Kinabalu dan Tawau bermula 19 hingga 21 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 12:28 PM