MAREK Hamsik
AFP

Milan: Marek Hamsik menjaringkan gol ke-116 untuk mengatasi rekod jaringan sepanjang zaman milik Diego Maradona di Napoli, sekali gus meletakkan pendahulu Serie A itu di kedudukan persada sementara Inter Milan dan AC Milan tewas.

Jaringan Hamsik pada babak pertama memastikan Napoli mencatat kemenangan 3-2 ke atas Sampdoria, untuk menyaksikan mereka mengumpul 45 mata daripada 18 perlawanan dengan Juventus yang menduduki tangga kedua mengumpul 44 mata.

Inter yang menduduki tangga ketiga liga, mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tunduk 0-1 di Sassuolo sekali gus ketinggalan lima mata di belakang Napoli sementara Milan pula tewas 0-2 di Atalanta untuk menyaksikan gergasi Itali itu menduduki tangga ke-11.

Hamsik yang juga pemain antarabangsa Slovakia, menyertai Napoli pada 2007 dan kini bertanggungjawab sebagai kapten dalam memburu kejuaraan pertama mereka sejak era Maradona.

Maradona hanya mengambil masa tujuh tahun untuk menjaringkan 115 gol antara 1984 hingga 1991 selain membantu Napoli meraih kejuaraan Serie A pada 1987 dan 1990.

“Saya amat bangga dapat mengatasi rekod pemain hebat seperti Maradona. Rakan memberikan pelindung kaki dengan tertulis nombor 116. Pada mulanya saya ingatkan ia disebabkan kami memenangi perlawanan selepas ketinggalan dua kali.

“Kemenangan ini sangat penting kerana kami juga meraih mata hasil kekalahan Inter,” kata pemain berusia 30 tahun itu.

Napoli ketinggalan dua kali pada separuh masa pertama selepas Gaston Ramirez meletakkan Sampdoria di depan minit kedua menerusi sepakan percuma.

Bagaimanapun Allan menyamakan kedudukan pada minit ke-16 di Stadium San Paolo tetapi Fabio Quagliarella menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan semula Sampdoria di depan pada minit ke-27.

Lorenzo Insigne mempamer aksi cemerlang selepas kembali daripada kecederaan apabila menyumbang gol minit ke-33.

Bagaimanapun Hamsik mengesahkan kemenangan Napoli enam minit sebelum tamat babak pertama sekali gus mengatasi rekod jaringan Maradona.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 1:44 AM