CONTE (kanan) pertahan taktikalnya. FOTO/AFP
AFP

LIVERPOOL: Antonio Conte mempertahankan taktikalnya yang menyaksikan beliau hanya memasukkan penyerang tulen, Michy Batshuayi pada 20 minit terakhir ketika Chelsea terikat tanpa jaringan bertemu Everton di Goodison Park, malam tadi.

Tanpa khidmat penyerang Sepanyol, Alvaro Morata yang digantung, dia nyata tiada pilihan lain di jentera serangan apabila terpaksa bergantung kepada Willian, Pedro dan Eden Hazard untuk merobek benteng tuan rumah.

Bagaimanapun, impak yang diharapkan ke atas ketiga-tiga pemain berkenaan jelas meleset dan Conte akhirnya memasukkan Batshuayi sebagai penyerang tunggal dengan dibantu Hazard.

Jelas pengurus Chelsea itu, keputusan memasukkan Batshuayi dalam baki 20 minit perlawanan adalah tepat kerana bintang Belgium itu baru pulih daripada kecederaan dan belum cergas sepenuhnya.

“Jangan lupa hari ini (malam tadi) penyerang kami Morata tidak bermain. Dia (Morata) pemain yang penting bagi kami di bahagian serangan,” kata Conte.


BATSHUAYI (dua dari kiri) beraksi pada 20 minit terakhir ketika Chelsea terikat tanpa jaringan. FOTO/AFP

“Akhirnya kami terpaksa bermain dengan pilihan kedua menggunakan tiga tonggak yang lebih bertindak selaku watak sokongan iaitu Willian, Pedro dan Hazard. Kami mencipta banyak peluang untuk mencetak gol.

“Jangan lupa juga Batshuayi mengalami kecederaan, biarpun dia sering berada dalam kesebelasan utama sebelum ini. Dia masih memerlukan masa untuk kembali dan sebab itu dia hanya di masukkan sebagai pemain gantian.”

Mengakui merindui sentuhan Batshuayi, Conte mahu pemain itu segera pulih dan kembali memperkuatkan barisan serangan The Blues.

“Saya rasa tidak ada apa-apa untuk dijelaskan,” kata Conte ketika ditanya mengapa dia memilih untuk tidak memulakan Batshuayi di Goodison.

“Saya memutuskan untuk bermain dengan Hazard, Willian dan Pedro, ini bukan kali pertama.

“Saya fikir saya perlu membuat keputusan terbaik untuk pasukan dan saya fikir hari ini saya mengambil keputusan terbaik demi kebaikan kami.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 1:30 PM