TOCANG (tiga dari kiri) tekad untuk terus beraksi di posisi pertahanan kiri Pahang.
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN pertahanan Pahang, Mohd Faisal Rosli atau Tocang yang mendapat kepercayaan selaku pemain utama musim ini, bertekad untuk terus mengekalkan pencapaiannya itu pada musim depan.

Biarpun rakan sepasukan turut berebut posisi berkenaan, pemain berusia 26 tahun itu akan sedia berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan jurulatih pasukan, Dollah Salleh mengenai kemampuannya.

Katanya, segala-galanya akan dilakukan sebaik mungkin untuk memastikan posisi pertahanan kiri skuad Tok Gajah menjadi miliknya.

“Sejak kembali menyertai latihan awal bulan ini, saya memberi penekanan kepada aspek kecergasan untuk memastikan musim 2018 bukan saja melonjakkan prestasi saya, malah pasukan.

“Apa yang perlu dilakukan adalah dengan meningkatkan kualiti permainan dalam usaha mengukuhkan kubu Pahang sekali gus meraih kejayaan lebih bermakna musim depan.

“Saya percaya dengan gabungan pemain baharu dan sedia ada, akan menambah lagi kekuatan pasukan sebaik saingan liga bermula,” kata pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu, hari ini.

Mohd Faisal yang sudah bersama dengan skuad Tok Gajah sejak 2012 juga percaya pencapaian terbaik mampu dilakukan bekas juara Piala Malaysia itu.

Katanya, komitmen pengurusan yang menyenaraikan beberapa pemain baharu termasuk import diyakini memberi impak positif buat pasukan.

“Sebagai pemain, saya mengharapkan yang terbaik dan kerjasama berpasukan daripada rakan sepasukan akan memberi lebih kekuatan,” katanya.

Musim ini, Pahang sekadar muncul naib juara Piala FA selain tempat kedua Liga Super dan mara suku akhir Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 1:20 PM