Abdul Rahim Ahmad, meninggal dunia di kediamannya pada usia 84 tahun.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@nstp.com.my


BEKAS Ketua Pengarah (KP) Sukan, Datuk Abdul Rahim Ahmed, meninggal dunia di kediamannya di Paroi, Negeri Sembilan, jam 9.30 malam tadi, akibat sakit tua. Beliau berusia 84 tahun.

Allahyarham yang menyandang jawatan berkenaan dari 1985 hingga 1988, adalah atlet negara yang pertama memenangi pingat menerusi sukan olahraga dalam penyertaan di pentas antarabangsa.

Abdul Rahim merangkul pingat gangsa menerusi acara 400 meter pada temasya Sukan Asia Tokyo 1958. Beliau melakukan catatan di bawah 50 saat, untuk menjadi atlet pertama Malaysia berjaya berbuat demikian.

Pengurus Operasi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Aminuddin Mohd Nasir berkata, pemergian Abdul Rahim adalah satu kehilangan besar buat arena sukan negara berikutan sumbangan besarnya sebelum ini.

“Bagi kami, setiap ahli YAKEB adalah seorang legenda. Sudah pasti ketiadaannya satu kehilangan besar untuk negara. YAKEB akan segera menguruskan tabung khairat kematian untuk keluarganya yang bernilai RM5,000,” katanya.

Sementara itu, legenda olahraga negara, Tan Sri Dr M Jegathesan yang pernah berlari bersama Abdul Rahim ketika aktif sebagai seorang atlet turut menyifatkan ketiadaan Allahyarham sebagai kehilangan besar buat negara.

“Dia adalah bekas rakan sepasukan abang saya, M Harichandra dan kemudian saya.

Dia adalah atlet pertama Malaysia memenangi pingat di Sukan Asia dan kemudian menjadi pembakar semangat kepada kami untuk mengikut jejaknya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 12:50 PM