DYBALA (kanan) diberi gelaran ‘The Jewel’ oleh Juventus. -Foto EPA
AFP

MILAN: Sentuhan jaringan Paulo Dybala kembali tepat pada masanya apabila juara bertahan, Juventus dijadual menentang seteru utama AS Roma bagi merebut status pendahulu Serie A pada malam sambutan Krismas.

Jurang empat mata memisahkan kuartet kelompok pendahulu kejuaraan Itali, dengan Napoli berada di puncak menerusi himpunan 42 mata daripada 17 perlawanan, satu mata di depan Juventus.

Inter Milan ketiga, satu mata di belakang manakala Roma keempat dengan berbekal satu perlawanan dalam tangan.

Napoli dilihat bakal memperkukuhkan status pendahulu apabila dijadual bertemu pasukan di tangga keenam, Sampdoria yang ketika ini sudah tewas empat daripada lima perlawanan mereka.

Namun semuanya mungkin berubah pada hujung minggu ini dengan Juventus dijadual berkunjung ke Verona, Napoli beraksi di laman lawan Crotone dan Inter Milan melayan kunjungan Lazio.

Rehat musim sejuk tahun ini juga dijadual bermula pada 6 Januari sekali gus gelaran untuk ‘juara musim sejuk’ tidak boleh disimpulkan lagi sehingga bulan depan.

Namun, dengan kembalinya prestasi diperlukan, ia mungkin memberi kesan psikologi kepada juara enam kali itu apatah lagi Dybala berjaya menamatkan kemarau jaringannya ketika membantu Juventus melakar kemenangan 2-0 ke atas Genoa dalam saingan Piala Itali, pertengahan minggu ini.

“Dia memerlukan prestasi baik dengan mengatasi semuanya dengan satu jaringan. Ini kerana ia membantunya untuk kembali menemui ketenangan dan keyakinan,” kata jurulatih kelab, Massimiliano Allegri mengenai pemain yang digelar ‘The Jewel’ itu.

Roma dalam pada itu juga memerlukan tonik berharga selepas dimalukan 1-2 di laman sendiri oleh Torino dalam Piala Itali.

Namun pemain sayap Juventus, Douglas Costa menjangkakan serangan balas daripada Roma yang ketika ini dilihat memperkukuhkan pertahanan mereka.

“Benar, mereka tewas dalam Piala Itali tetapi kami tidak menjangkakan pasukan yang sama diturunkan Sabtu ini,” kata Costa.

Inter Milan yang tewas di tangan Udinese minggu lalu di hadapan penyokong sendiri, bakal dijadual berkunjung ke laman Sassuolo sebelum bertemu Lazio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 12:16 PM