PEP Guardiola (tengah). FOTO Reuters
Reuters

London: Pengurus Manchester City Pep Guardiola sudah melakukan yang terbaik untuk mengekang rasa teruja berikutan aksi luar biasa pasukannya namun tidak menyangka mendengar spekulasi mengenai keupayaan kelabnya mencatatkan empat kejuaraan sebelum sambutan Krismas.

Selepas barisan skuad keduanya berjaya mara ke separuh akhir Piala Liga semalam, menerusi kemenangan penalti 4-3 ke atas Leicester City selepas seri 1-1 tamat masa tambahan, jurulatih kelahiran Sepanyol itu ditanya sama ada pasukannya mampu menjulang empat kejuaraan musim ini.

Renungan dingin Guardiola menggambarkan perasaannya. “Lupakan saja. Ia tidak akan berlaku,” katanya, dalam nada enggan melayan soalan seumpamanya.

Apa yang pasti, pasukannya beraksi cemerlang ketika ini dan ia membuatkan andaian itu kelihatan tidak mustahil.

Liga Perdana Inggeris yang diungguli mereka dengan kelebihan 11 mata, bagaikan sukar digugat dan kini City berada dalam kelompok empat terakhir yang meletakkan mereka dalam posisi untuk menang buat kali ketiga dalam lima musim di Wembley pada Februari.

Sekiranya mereka terus dengan gaya permainan seperti ini yang kelihatan cukup bertenaga di pentas Eropah maka kejayaan di Liga Juara-Juara dan Piala FA juga tidak dianggap mustahil.

Eksperimen terbaru Guardiola tampak berjalan lancar di mana City tidak pernah tewas sebarang aksi domestik sejak aksi separuh akhir Piala FA dengan Arsenal dan kekalahan mereka musim ini hanyalah kepada Shakhtar Donetsk dalam Liga Juara-Juara yang langsung tidak memberi kesan kepada mereka.

Kehadiran Phil Foden, 17, salah seorang bakat muda hebat bola sepak Inggeris, pemain Sepanyol Brahim Diaz, 18, dan pertahanan tempatan Tosin Adarabioyo, 20, menggalas tugas penting dalam membantu kemenangan City.

Skuad Guardiola tampil cemerlang selepas Bernardo Silva meletakkan City di depan sebelum Jamie Vardy menyamakan kedudukan menerusi penalti pada masa tambahan.

Selepas masa tambahan, penjaga gol City Claudio Bravo menyelamatkan penalti Riyad Mahrez untuk melakar kemenangan.

“Ramai pemain muda diturunkan. Saya gembira dengan mereka. Mereka mempamerkan aksi yang membanggakan,” kata Guardiola.

Apabila kembali ditanya mengenai kemungkinan menang empat trofi, jurulatih Sepanyol itu berkata: “Ia tidak benar. Dalam bola sepak, anda kehilangan mata, anda kalah. Saya tidak terfikir mengenai semua gelaran itu.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 9:41 AM